Cakna usaha perkasa semangat sukarelawan anak bangsa

SAUDARA PENGARANG

Hari Sukarelawan Antarabangsa (International Volunteer Day) disambut pada setiap 5 Disember sebagai pengiktirafan di peringkat antarabangsa yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sejak tahun 1985. Tujuannya adalah untuk menghargai jasa dan sumbangan yang telah diberikan oleh sukarelawan dan untuk meningkatkan lagi kesedaran orang awam mengenai jasa dan sumbangan para sukarelawan kepada masyarakat.

Sukarelawan bermaksud seorang individu yang mempunyai minat dan kecenderungan seterusnya terlibat dalam sesuatu kegiatan secara sukarela tanpa mengharapkan sebarang imbuhan dan balasan. Ironinya, tidak semua orang berminat untuk menyertai aktiviti kesukarelawanan ataupun sanggup dan mampu menjadi sukarelawan untuk aktiviti berbentuk kemasyarakatan atas pelbagai sebab dan alasan.

Alasan paling popular dan klise yang sering kita dengar ialah sibuk dan tidak mempunyai masa yang cukup kerana terlibat dengan pelbagai komitmen lain termasuklah urusan keluarga. Justeru perlu ada usaha berterusan untuk memupuk semangat kesukarelawanan dalam kalangan anggota masyarakat khususnya golongan muda.

Banjir musim tengkujuh yang sedang melanda beberapa buah negeri, hampir setiap hujung tahun sewajarnya menyedarkan setiap lapisan anggota masyarakat bahawa mangsa terlibat memerlukan pelbagai bantuan daripada orang ramai. Fenomena bencana alam ini perlu membangkitkan semangat kesukarelawanan dalam kalangan kita untuk segera tampil menghulurkan apa jua bantuan yang diperlukan mengikut kemampuan masing-masing.

Walaupun pada ketika ini bilangan anggota masyarakat yang menyertai aktiviti sukarelawan semakin bertambah dan sedia membantu mangsa bencana alam seperti banjir selain menyertai pelbagai misi bantuan kemanusiaan namun secara keseluruhannya ianya masih rendah jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan penduduk negara ini terutamanya dalam konteks penglibatan generasi muda.

Justeru, sudah tiba masanya untuk kita memperkasa dan mempergiatkan usaha menyedarkan rakyat tentang kepentingan memiliki sekeping hati yang mulia dan ikhlas untuk bertindak sebagai sukarelawan.

Hakikatnya, aktiviti kesukarelawanan merupakan satu tugas dan komitmen yang cukup murni, ikhlas dan terpuji kerana sukarelawan tidak pernah mengharapkan apa-apa balasan mahupun pulangan di atas sumbagan dan bantuan yang dihulurkan. Ringkasnya, tidak ada gaji mahupun ganjaran dibayar kepada mereka yang menyertai aktiviti kesukarelawanan.

Malah seringkali kita dengar bahawa sukarelawan sanggup mengeluarkan duit poket sendiri sama ada untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa mahupun untuk membiayai penyertaan mereka dalam aktiviti terbabit. Itulah sikap murni seorang sukarelawan yang seringkali menjadi wira tak didendang.

Generasi muda terutamanya yang bakal menjadi tulang belakang masyarakat dan negara kita perlu segera dipupuk dan disematkan budaya kesukarelawanan agar mereka mampu tampil menghulurkan bantuan apabila diperlukan. Usaha ini boleh dimulakan di pelbagai peringkat seperti di sekolah, universiti, badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat.

Dalam konteks ini sekolah dan universiti boleh menjadi platform signifikan dalam memupuk semangat kesukarelawanan dalam kalangan generasi belia negara ini. Ironinya, memberi pendidikan kesedaran tentang keperluan untuk meringankan beban pihak yang memerlukan pelbagai bantuan tatkala musim bencana akan membentuk watak dan karakter yang terpuji dalam diri golongan muda.

Aktiviti khidmat masyarakat melalui program misi banjir yang dianjurkan oleh pihak universiti misalnya akan membuka ruang luas kepada mahasiswa menyelami masalah rakyat dengan sama-sama turun padang menghulurkan pelbagai bantuan.

Universiti dengan jumlah pelajar yang cukup ramai boleh terus menjadi platform yang melatih dan menyalurkan sukarelawan yang diperlukan oleh masyarakat dan negara. Peranan Majlis Sukarelawan Universiti-Universiti Malaysia (MASKUM) yang dianggotai oleh semua wakil universiti awam adalah platform yang sering memainkan peranan dan tanggungjawab dalam melatih dan menyediakan sukarelawan yang diperlukan.

Mereka boleh dilibatkan dalam pelbagai misi bantuan seperti misi bantuan banjir di seluruh negara, selain pelbagai aktiviti sukarelawan lain yang dilaksanakan oleh universiti masing-masing termasuk yang menyumbang ke arah kelestarian alam sekitar.

Antara bantuan sukarelawan ketika musim banjir yang sangat memberi kesan positif kepada mangsa ialah bantuan membersihkan rumah kediaman yang kotor setelah ditenggelami air bah, selain menjadi sukarelawan di pusat pemindahan sementara (PPS).

Kita perlu melahirkan anggota masyarakat yang mempunyai sifat simpati, prihatin dan naluri ingin membantu orang lain supaya mampu menjadi sukarelawan yang berkhidmat kepada rakyat dan negara. Ingat, aktiviti kesukarelawanan hanya menuntut sekeping hati yang ikhlas dan sanggup menghulurkan bantuan tanpa mengira agama, bangsa dan negara atas dasar kemanusiaan sejagat.

Secara prinsipnya, musibah nanjir yang merosakkan pelbagai harta benda menjadi medan terbaik yang memaknai semangat kesukarelawanan dalam kalangan rakyat Malaysia. Semangat ini akan menzahirkan rasa empati yang mendalam sekali gus membuktikan kita tidak membiarkan sesiapa pun melalui detik kesukaran secara sendirian.

Tuntasnya, aktiviti kesukarelawanan tidak boleh dilihat sebagai suatu pilihan, tetapi dizahirkan sebagai satu gerakan ‘rakyat bantu rakyat’ yang memperkukuh semangat kebersamaan.

Semoga semangat kesukarelawanan terus membumi dalam diri setiap seorang daripada kita supaya kita sama-sama berganding bahu membangunkan negara dan melindungi diri serta anggota masyarakat yang lain. Selamat menyambut Hari Sukarelawan Antarabangsa.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED
Noor Mohamad bin Shakil Hameed
Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat)
Pusat Strategi Dan Perhubungan Korporat
Universiti Putra Malaysia
e-mel: nmohd77@upm.edu.my

Hey there! Ask me anything!