Co-teaching: Dua guru, satu irama pembelajaran

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Co-teaching memerlukan keserasian dan kefahaman jelas antara dua guru untuk memastikan pengajaran berjalan lancar.
  • Perancangan teliti, jadual dan pembahagian tugas penting supaya model ini tidak menambah tekanan guru.
  • Kepercayaan dan komunikasi terbuka memudahkan perkongsian matlamat pembelajaran dan pelaksanaan kelas.
  • Peranan yang jelas seperti dalam pasukan klinikal membantu menyusun tugasan tanpa meniru suasana perubatan sepenuhnya.
  • Kerjasama yang konsisten mengajar murid hormat, toleransi dan kemahiran bekerja bersama.

Kata orang, dua kepala lebih baik daripada satu. Namun dalam bilik darjah yang semakin kompleks, ungkapan itu tidak lagi sekadar peribahasa. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merancang memperkenalkan co-teaching dalam Kurikulum Persekolahan 2027, dan ramai tertanya sama ada dua guru dalam satu kelas benar-benar mampu mengubah pengalaman belajar murid.

Pada dasarnya, co-teaching kelihatan mudah. Dua guru berkongsi kelas, saling menyokong dan memberi perhatian kepada murid. Namun seperti mana-mana usaha berpasukan, pelaksanaannya memerlukan keserasian dan kefahaman yang jelas antara rakan sejawat. Jika tidak dirancang dengan baik, sesi yang sepatutnya lancar boleh menjadi kurang teratur.

Di banyak sekolah, ruang bilik darjah yang terhad, jadual guru yang padat dan beban tugas harian yang semakin meningkat menjadikan co-teaching mencabar untuk dilaksanakan sepenuhnya. Idea dua guru dalam satu kelas memang menarik, tetapi perlu disokong oleh perancangan yang teliti supaya matlamat asalnya benar-benar tercapai.

Namun dunia pendidikan sebenarnya tidak bersendirian dalam isu ini. Dalam bidang perubatan, pembelajaran berpasukan sudah lama menjadi nadi kerja harian. Di wad, doktor pakar memimpin rawatan sambil pegawai perubatan menambah maklumat klinikal dan pelajar perubatan memerhati bagaimana keputusan dibuat di hadapan pesakit.

Ia ruang kerja, yang dalam masa sama menjadi ruang belajar. Setiap anggota pasukan tahu bila perlu tampil, bila perlu menyokong dan bila perlu diam mendengar. Walaupun kelihatan spontan, ada irama kerjasama yang terbentuk melalui latihan dan kepercayaan antara satu sama lain.

Begitu juga dalam co-teaching. Keberkesanannya bukan bergantung pada siapa lebih lama mengajar, tetapi pada sejauh mana dua guru dapat menyelaraskan gaya dan irama pengajaran mereka.

Apabila wujud rasa saling percaya, ruang untuk berkongsi pandangan dan kefahaman yang jelas tentang matlamat pembelajaran, kerjasama menjadi lebih mudah. Jika elemen-elemen ini kurang diberi perhatian, sesi co-teaching mungkin tidak berjalan seperti yang diharapkan. Keserasian dan komunikasi yang baik antara rakan sejawat adalah asas kepada keberhasilan model ini.

Dalam bilik darjah, kerjasama dua guru boleh berlaku dalam pelbagai bentuk. Ada masanya seorang guru memberi tumpuan kepada penerangan, sementara rakan sejawatnya memerhati perkembangan murid untuk memastikan semua dapat mengikuti pembelajaran dengan selesa.

Peranan ini boleh bergilir mengikut kesesuaian topik dan gaya mengajar masing-masing. Walaupun nampak mudah, kerjasama kecil seperti ini memberi kesan besar kepada kelancaran pengajaran.

Persoalan yang sering timbul pula ialah, siapakah guru kedua itu? Adakah perlu ada jawatan tambahan, atau guru sedia ada digilirkan? Setakat ini, fokus utama ialah memberikan latihan dan persediaan kepada guru yang telah pun berada di sekolah.

Oleh sebab itu, perancangan jadual dan pembahagian tugas perlu dilakukan dengan teliti supaya co-teaching tidak menambah tekanan sedia ada. Yang penting ialah kesediaan rakan sejawat untuk berbincang secara terbuka dan saling menyokong agar kerjasama itu dapat berlangsung dengan harmoni.

Dalam bidang perubatan, salah satu kekuatan pasukan klinikal ialah kejelasan peranan. Setiap anggota tahu siapa membuat keputusan, siapa mengurus maklumat pesakit dan siapa menyokong tugasan teknikal. Kejelasan beginilah yang boleh membantu dua guru merancang kelas dengan lebih teratur, tanpa perlu meniru suasana klinikal sepenuhnya.

Teknologi juga boleh memainkan sedikit peranan untuk melancarkan kerjasama ini. Guru tidak perlu menggunakan sistem kompleks; mencukupi jika mereka berkongsi nota, bahan mengajar atau perancangan ringkas melalui aplikasi yang telah biasa digunakan di sekolah.

Cara ini memudahkan kedua-dua guru melihat perkembangan pembelajaran tanpa menambah beban kerja yang tidak perlu. Tujuannya bukan untuk menggantikan guru, tetapi untuk memudahkan kerjasama agar hala tuju pembelajaran sentiasa jelas dan selari. Jika co-teaching mahu berjaya, kekuatannya perlu datang daripada budaya kerja yang saling menyokong, bukan sekadar aturan atau jadual.

Budaya mendengar dan berbincang dengan terbuka sudah lama wujud dalam kalangan guru, cuma banyak daripadanya berlaku di balik tabir seperti dalam mesyuarat, perancangan mingguan atau perbualan ringkas antara rakan setugas.

Melalui co-teaching, kerjasama itu dapat dilihat secara lebih jelas di hadapan murid. Mereka bukan sahaja belajar daripada isi pelajaran, tetapi memahami bagaimana dua orang dewasa dengan gaya berbeza boleh berganding untuk mencapai tujuan yang sama.

Pengalaman seperti ini secara tidak langsung mengajar murid tentang hormat, toleransi dan cara bekerja bersama tanpa menenggelamkan kelebihan masing-masing. Kita tidak perlu meniru dunia klinikal sepenuhnya, tetapi ada nilai kerja berpasukan yang boleh dijadikan panduan.

Dalam konteks sekolah, kadangkala memadai jika dua guru menyelaras secara ringkas sebelum kelas tentang siapa memulakan topik dan siapa memerhati perkembangan murid. Selepas kelas, satu dua minit berbincang pun sudah cukup untuk menilai apa yang berkesan dan apa yang boleh diperbaiki.

Langkah kecil begini, apabila diamalkan secara berterusan, boleh mewujudkan budaya kerjasama yang lebih mantap di bilik darjah tanpa menambah beban guru. Dengan asas yang kukuh dan kerjasama yang ikhlas, co-teaching boleh menjadi satu langkah bermakna dalam usaha memperkasa generasi masa depan.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM atau mana-mana institusi.

DR AZRIL SHAHREEZ ABDUL GHANI
Dr Azril Shahreez Abdul Ghani
Pensyarah Pendidikan Perubatan
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
e-mel: azrilshahreez@iium.edu.my

Hey there! Ask me anything!