SAUDARA PENGARANG
Pada hari ini kita hidup dalam dunia yang semakin pintar dan canggih di mana sebuah telefon tahu apa yang kita suka, manakala algoritma pula faham apa yang kita cari, dan lebih mengejutkan apabila semua ini boleh berlaku dalam sekelip mata. Apa yang dianggap sukar dan mustahil kini dapat diselami atau diperolehi dalam beberapa saat sahaja.
Namun kita perlu faham betapa di sebalik kehebatan letusan teknologi maklumat yang serba cepat dan canggih ini, ada sesuatu yang kian lenyap dari kehidupan manusiawi iaitu rasa empati, khususnya dalam konteks ini dikenali sebagai empati digital. Mudahnya, kita semakin hilang perasaan sebagai manusia sebaliknya mula menari ikut rentak teknologi atau mesin yang tidak hidup berpaksikan emosi.
Mungkin ramai yang tertanya-tanya apa pula maksud empati digital? Ironinya, empati digital bukanlah suatu istilah yang baharu, cuma makna, penghayatan dan amalannya semakin jauh daripada kehidupan harian kita.
Menurut Elvira Čekić (2025), empati digital, atau turut dikenali sebagai virtual empathy, merujuk kepada keupayaan kognitif dan emosi seseorang untuk memahami serta menyelami perasaan individu lain dalam interaksi yang berlangsung melalui perantaraan teknologi.
Ia meliputi komunikasi dalam talian, penggunaan realiti maya (VR) dan kecerdasan buatan (AI), di samping menilai sejauh mana teknologi mempengaruhi keaslian dan keberkesanan nilai empati dalam hubungan manusia.
Ringkasnya, ia tentang keupayaan kita memahami, menghormati dan menjiwai perasaan orang lain ketika berinteraksi di alam maya. Namun malangnya apa yang sedang berlaku pada ketika ini ialah dunia digital bukan lagi menjadi ruang untuk berhubung hati ke hati, sebaliknya sudah menjadi medan untuk melampiaskan amarah dan menghukum tanpa belas.
Cuba kita bayangkan satu komen pedas atau satu video yang disalah tafsir sudah cukup untuk mencetuskan gelombang kecaman dalam kalangan netizen yang umpama hanya menunggu masa orang lain buat salah.
Akibatnya, dalam sekelip mata, maruah seseorang boleh ranap di tangan ribuan jari yang menulis tanpa berfikir dan tanpa mempedulikan perasaan orang lain. Ruang maya yang sepatutnya membina komuniti, berubah menjadi gelanggang penghakiman tanpa hakim, tanpa peguam dan tanpa belas kasihan atau empati.
Untuk rekod, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dilaporkan telah menurunkan 10,493 kandungan palsu dan berunsur fitnah, selain 30,427 kandungan berbentuk penipuan atau scam yang tersebar di platform dalam talian dari Januari hingga 15 April lepas.
Statistik itu bukan sekadar data di atas kertas tetapi ia cerminan hakikat bahawa anggota masyarakat sedang hilang sesuatu yang lebih berharga daripada teknologi, iaitu sifat kemanusiaan berpaksikan nilai empati.
Lebih menyedihkan, ramai di antara kita menikmati drama kejatuhan orang lain. Misalnya, rakaman sesuatu insiden yang memalukan dikongsi berulang kali, bukan kerana prihatin, tetapi kerana mahu tular. Akhirnya, empati ditukar dengan hiburan, simpati diganti dengan sinis. Kita mungkin moden dari segi teknologi, tetapi jangan lupa bahawa nilai kemanusiaan kita semakin usang.
Orang Melayu dahulu berpesan, kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa. Kini, pepatah itu berubah makna kepada, kerana jari, maruah manusia binasa. Kita tidak boleh membiarkan keadaan ini berterusan. Kita tidak boleh membenarkan kemajuan teknologi memusnahkan nilai kemanusiaan yang dibanggakan selama ini.
Justeru sudah tiba masanya untuk kita jadikan empati digital sebagai kompas moral kehidupan seharian. Ringkasnya, kita perlu berubah menjadi pengguna teknologi atau netizen yang bertanggungjawab dan menjiwai nilai empati digital.
Misalnya, setiap kali ketika jari hendak menekan butang “kongsi” atau “komen”, fikirkan sejenak adakah kita menyebar kebenaran, atau menambah luka pada jiwa orang lain? Apakah perbuatan itu wajar dan rasional atau sekadar mahu meraih perhatian murahan?
Kerajaan menerusi MCMC dan CyberSecurity Malaysia sudah banyak berusaha membina kesedaran literasi digital serta mendidik masyarakat tentang tanggungjawab di ruang siber. Namun, usaha itu tidak akan bermakna jika kita sendiri tidak belajar menjadi manusia yang berfikir sebelum menulis. Ringkasnya, sikap dan tingkah laku diri perlu diperbaiki dengan segera.
Untuk menyuburkan semula empati digital, kita boleh mengamalkan dua perkara, pertama, latih diri untuk membaca dengan hati, bukan hanya dengan mata. Sebelum mengulas atau menegur, cuba fahami konteks dan perasaan orang yang berada di sebalik skrin itu. Kadangkala sedikit empati sudah cukup dan boleh mengubah cara kita melihat sesuatu isu.
Kedua, jadikan media sosial sebagai platform yang membina, bukan meruntuh. Mudahnya, kongsi ilmu, sebarkan inspirasi dan elakkan menambah kebencian. Bila kita memilih untuk menulis dengan niat baik, kita sebenarnya sedang menyemai nilai kemanusiaan dalam dunia yang semakin kering emosi dan hilang nilai empati.
Dalam dunia tanpa sempadan ini, empati digital seharusnya menjadi kompas moral yang membimbing perilaku kita di alam siber. Jika di dunia nyata kita diajar menghormati perasaan dan maruah orang lain, nilai itu sepatutnya turut dibawa ke ruang digital.
Tidak kira usia, jantina, kaum atau latar belakang pendidikan, setiap individu perlu sedar bahawa satu mesej atau hantaran yang tidak beretika mampu meninggalkan kesan psikologi yang mendalam kepada mangsa. Oleh itu, pendidikan empati digital juga wajar disemai sejak di bangku sekolah agar generasi muda celik teknologi dan tidak buta hati.
Hakikatnya, empati digital bukan sekadar kata-kata yang indah sebaliknya ia merupakan satu keperluan mendesak untuk membina sebuah masyarakat MADANI bertamadun digital yang beradab. Harus diingat, dunia maya boleh jadi tempat yang selamat jika setiap daripada kita memilih untuk memahami dan bukannya menghukum.
Apa yang pasti, pada akhirnya, teknologi hanyalah alat dan yang menentukan nilai sebuah peradaban bukan pada pantasnya sambungan internet, tetapi pada lembutnya hati manusia yang menggunakannya. Tuntasnya, kita tidak boleh elak atau lari dari perkembangan pesat teknologi, tetapi perlu belajar untuk menjadi manusia yang bijak menggunakannya demi kebaikan bersama.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Noor Mohamad Shakil Hameed
Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat)
Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK)
Universiti Putra Malaysia
e-mel: nmohd77@upm.edu.my