Selain AI, GAI bantu meningkatkan pendidikan pengaturcaraan

SAUDARA PENGARANG

Dunia pendidikan kini sedang mengalami transformasi besar dengan kemunculan teknologi kecerdasan buatan generatif (Generative AI atau GAI). Dalam era digital yang pantas ini, pendidikan pengaturcaraan tidak hanya bergantung sepenuhnya kepada kaedah pengajaran tradisional yang sering kali menghadapi cabaran seperti kekurangan maklum balas peribadi, perbezaan tahap penglibatan dan pemahaman pelajar.

Kecerdasan buatan generatif merupakan sebahagian daripada AI yang mampu mencipta kandungan baharu seperti teks, kod, dan imej. Dalam konteks pendidikan pengaturcaraan, teknologi ini menawarkan keupayaan luar biasa untuk membantu pelajar dengan menjana potongan kod, mengesan dan membetulkan kesilapan kod, serta menerangkan konsep pengaturcaraan secara interaktif melalui pendekatan perbualan. Kemampuan ini menjadikan pembelajaran lebih interaktif, disesuaikan dengan kemampuan pelajar, dan mudah diakses oleh pelajar dari pelbagai latar belakang dan tahap kemahiran.

Trend Utama Kecerdasan Buatan Generatif (GAI)

Trend utama kecerdasan buatan generatif ini di lihat dari sudut bilangan penerbitan, pengarang penulisan berkaitan GAI, perkataan carian dan rujukan penerbitan. Peningkatan ketara dalam bilangan penerbitan yang berkaitan dengan GAI dalam pendidikan pengaturcaraan dari tahun 2000 sehingga 2025 mencerminkan peningkatan minat akademik dan kepentingan praktikal teknologi ini dalam sektor pendidikan. Selari dengan perkembangan pesat teknologi GAI seperti ChatGPT, DeepSeek, Claude.ai dan alat-alat serupa yang semakin canggih dan mudah diakses.

Ekosistem penyelidikan yang dinamik dengan penyumbang dari pelbagai institusi dan negara. Ini mencerminkan sifat global penyelidikan GAI dalam pendidikan dan kepentingan kerjasama antarabangsa dalam memajukan bidang ini. Sepuluh pengarang teratas dari negara German, Israel, Jepun, USA dan UK telah menyumbang dengan ketara kepada rujukan penyelidikan lepas yang menjadi asas kepada penyelidikan lanjut.

20 perkataan carian teratas memberikan pandangan tentang fokus penyelidikan utama. Antaranya “kecerdasan buatan”, “pembelajaran mesin”, “pendidikan pengaturcaraan”, “chatbot”, dan “pembelajaran diperibadikan” muncul sebagai tema utama. Evolusi kata kunci ini menunjukkan peralihan dari fokus awal pada teknologi asas kepada aplikasi yang lebih spesifik termasuk aspek pedagogi dan hasil pembelajaran.

Kajian yang paling banyak dirujuk merangkumi pelbagai aspek, termasuk reka bentuk alat, keberkesanan pedagogi, persepsi pelajar, dan isu etika. Kajian oleh Bahroun pada 2023, sebagai contoh, mensintesis dapatan daripada 207 kertas kerja, mengenal pasti trend dan jurang dalam penyelidikan GAI, menekankan impaknya yang signifikan terhadap pendidikan. Kajian lain menekankan peranan chatbot berkuasa AI dalam penglibatan kognitif dan persekitaran pembelajaran kolaboratif.

Implikasi dan Hala Tuju Masa Depan

Trend Baharu kecerdasan buatan generative (GAI) mempunyai implikasi penting untuk pelbagai pihak berkepentingan dalam pendidikan pengaturcaraan. Bagi pendidik, GAI menawarkan peluang untuk mereka bentuk pengalaman pembelajaran yang lebih diperibadikan dan responsif. Teknologi ini dapat memberikan maklum balas dalam masa sebenar (real time response) kepada pelajar, membantu mengenal pasti dan membetulkan kesilapan kod dengan lebih cepat, serta menyesuaikan kadar pembelajaran mengikut keupayaan individu.

Kajian dalam kalangan mahasiswa mendedahkan optimisme terhadap alat GAI seperti ChatGPT untuk pembelajaran diperibadikan dan bantuan pengaturcaraan. Persepsi positif ini menunjukkan kesediaan pelajar untuk menerima teknologi baharu dan mengintegrasikannya dalam proses pembelajaran mereka. Bagaimanapun, ia juga menimbulkan persoalan tentang bagaimana untuk memastikan penggunaan yang bertanggungjawab dan etika.

Literasi AI muncul sebagai keperluan kritikal untuk diperhalusi. Kemahiran yang relevan dan memupuk pemikiran kritis tentang implikasi etika AI perlu diberi keutamaan. Misalnya, pemahaman tentang bagaimana AI berfungsi, batasannya, dan potensi penyimpangannya. Pelajar perlu dididik bukan sahaja untuk menggunakan alat AI, tetapi juga untuk menilai output  secara kritikal dan membuat keputusan berinformasi tentang bila dan bagaimana untuk menggunakannya.

Integrasi GAI ke dalam kurikulum pengaturcaraan memerlukan penyesuaian yang teliti oleh pendidik. Ini bukan sekadar menambah alat baharu ke dalam bilik kuliah malah memerlukan pemikiran semula tentang objektif pembelajaran, kaedah penilaian, dan peranan pengajar. Pendidik perlu merangka tugasan yang memanfaatkan kekuatan GAI disamping terus menggalakkan pemikiran kritikal dan kemahiran penyelesaian masalah asas.

Pendidik dan penyelidik  mesti memberi tumpuan kepada memaksimumkan faedah GAI, seiring dengan menangani cabaran integriti akademik dan penggunaan beretika. Isu-isu seperti plagiarisme, pergantungan berlebihan kepada AI, dan kesan jangka panjang terhadap perkembangan kemahiran pengaturcaraan perlu dikaji  lebih mendalam.

Dinamika Landskap Pendidikan

Kecerdasan buatan generatif sedang mengubah landskap pendidikan pengaturcaraan. Namun, realisasi potensi ini memerlukan pendekatan yang seimbang dan berhati-hati yang mengambil kira kedua-dua peluang dan cabaran. Pendidik, penyelidik, dan pembuat dasar mesti bekerjasama untuk membangunkan rangka kerja yang memaksimumkan faedah GAI sambil melindungi integriti akademik dan mempromosikan penggunaan yang beretika.

Dalam era kemahiran digital dan pengaturcaraan menjadi semakin penting, integrasi teknologi AI generatif bukan lagi pilihan, malah suatu keperluan. Ia mewakili evolusi semula jadi pendidikan pengaturcaraan daripada kaedah tradisional kepada pendekatan yang dipacu teknologi.

Kepada pelajar, mereka kini perlu melengkapkan diri mereka dengan kemahiran untuk meneroka persekitaran pembelajaran yang semakin kompleks dan dinamik ini. Dengan bimbingan yang betul dan penggunaan yang bertanggungjawab, GAI berpotensi untuk menjadikan pembelajaran pengaturcaraan lebih berkesan, menarik, dan inklusif untuk semua.

Akhirnya, kejayaan integrasi GAI dalam pendidikan pengaturcaraan akan bergantung kepada keupayaan kita untuk menyeimbangkan inovasi teknologi dengan prinsip pedagogi yang kukuh. Teknologi ini digunakan untuk mengukuh bukan menggantikan, elemen asas pembelajaran  pemikiran kritikal, kreativiti, dan kemahiran menyelesaikan masalah.

Hanya dengan cara ini kita dapat memastikan bahawa generasi akan datang bukan sahaja mahir dalam menggunakan alat AI, tetapi juga memahami prinsip asas pengaturcaraan dan dapat berfikir secara algoritma dan analitis.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

SITI NOOR AHMAD
Siti Noor Ahmad
Pensyarah Komputeran
Fakulti Multimedia Kreatif dan Komputeran (FMKK)
Universiti Islam Selangor
e-mel: sitinoor@uis.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.