Solat: Sedar atau sekadar?

SAUDARA PENGARANG

Solat ialah ibadah paling utama dalam kehidupan seorang muslim kerana ia menjadi tiang agama yang menegakkan seluruh struktur keimanan seseorang. Ia bukan hanya sekadar gerakan fizikal yang dilakukan lima kali sehari, tetapi merupakan satu bentuk komunikasi langsung antara hamba dengan Penciptanya.

Dalam solat, kita melafazkan kata-kata yang penuh makna dan setiap lafaz itu membawa mesej penghambaan, ketundukan serta penyerahan diri sepenuhnya kepada Tuhan Yang Maha Esa.

Di samping itu, solat juga merupakan lambang kesyukuran seorang hamba atas segala nikmat yang tidak terhitung banyaknya. Justeru, memahami bacaan solat menjadikan ibadah ini lebih hidup, lebih bernilai dan lebih berjiwa.

Faham Makna Asas Khusyuk

Kefahaman terhadap bacaan dalam solat sangat penting kerana ia merupakan asas kepada kekhusyukan. Khusyuk ialah keadaan hati dan fikiran yang benar-benar tertumpu kepada Allah, tanpa diganggu oleh perkara duniawi yang bersifat sementara.

Dalam Surah al-Mukminun ayat 2, Allah menerangkan bahawa antara ciri utama orang beriman ialah mereka yang khusyuk dalam solat. Namun, bagaimana mungkin seseorang itu benar-benar khusyuk jika dia tidak memahami apa yang dilafazkan.

Apabila kita memahami maksud setiap ayat, zikir dan doa, fikiran lebih mudah fokus kerana hati dapat menangkap mesej yang ingin disampaikan. Situasi ini sama seperti membaca sebuah buku dalam bahasa asing.

Jika kita sekadar membacanya tanpa memahaminya maka ianya akan menyebabkan kita hilang tumpuan, begitu jugalah dengan solat apabila ianya dilakukan tanpa kefahaman, ibadah itu mungkin dilakukan hanya sebagai rutin, bukan dengan jiwa yang benar-benar hadir.

Jentik Hati Perbaiki Diri

Memahami maksud bacaan dalam solat memberi kesan besar kepada pembentukan diri seorang muslim kerana setiap lafaz yang diucapkan membawa mesej yang membimbing jiwa, mengukuhkan akhlak dan menajamkan kesedaran.

Apabila makna bacaan difahami, ia menyuntik muhasabah diri kerana ayat seperti ayat 5 dalam surah al-Fatihah mengingatkan kita agar bergantung sepenuhnya kepada Allah dalam setiap langkah kehidupan.

Kefahaman ini juga membina kerendahan hati, kerana doa-doa yang dipanjatkan membuatkan kita sedar akan kelemahan diri dan keperluan terhadap hidayah serta keampunan Allah.

Selain itu, memahami makna bacaan turut menguatkan kawalan diri kerana kita terdorong untuk menjaga tindakan agar selari dengan kata-kata yang kita ucapkan dalam solat. Ia juga membentuk nilai moral yang tinggi, mempengaruhi cara berfikir, bertutur serta berinteraksi dengan orang lain.

Motivasi Kendiri Menuju Ilahi

Memahami bacaan solat juga dapat memupuk motivasi yang mendalam untuk mendalami al-Quran secara lebih meluas. Solat adalah ruang harian yang paling kerap kita ulangi setiap hari.

Apabila seseorang mula memahami surah al-Fatihah, kemudian zikir-zikir seperti tasbih, tahmid, takbir dan istighfar, secara tidak langsung dia membuka pintu untuk memahami ayat-ayat al-Quran yang lain pula. Perjalanan memahami wahyu Allah itu bermula daripada sesuatu yang ringkas tetapi sangat bermakna.

Solat akan menjadi lebih menyeronokkan kerana setiap kali berdiri menghadap Ilahi, kita tahu dan sedar apakah yang diperkatakan, seolah-olah kita benar-benar berkomunikasi dengan Sang Pencipta.

Hal ini sangat berbeza dengan seseorang yang tidak memahami bacaan langsung lalu menyebabkan solat mungkin terasa kosong dan tidak memberikan kesan mendalam.

Ibarat membaca buku tanpa memahami jalan ceritanya, kita tidak akan berasa teruja, tidak bersemangat, malah mungkin terasa berat untuk meneruskan bab seterusnya. Begitu juga dengan solat, tanpa kefahaman, ibadah itu mungkin dilakukan tetapi tidak hidup di dalam hati.

Cerminan Kesungguhan Hamba

Selain itu, usaha memahami bacaan solat menunjukkan kesungguhan seorang hamba untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ia bukan semata-mata tugas atau latihan bahasa, tetapi satu bentuk amalan spiritual yang mencerminkan keikhlasan seseorang dalam memperbaiki hubungan dengan Tuhannya.

Seseorang yang meluangkan masa untuk mempelajari makna bacaan solat menunjukkan bahawa dia mahu menjadi seorang muslim yang lebih baik, lebih sedar dan lebih dekat dengan Allah SWT.

Usaha kecil seperti memahami maksud surah al-Fatihah, doa qunut, tahiyyat dan zikir-zikir asas ialah langkah permulaan yang sangat besar nilainya di sisi-Nya. Ia menandakan bahawa kita tidak hanya melakukan solat sebagai tanggungjawab, tetapi sebagai ibadah yang benar-benar dihayati dan ingin dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Hati Memahami, Diri Lebih Berhati-hati

Apabila kita memahami bacaan solat, kita akan menjadi lebih berhati-hati ketika menuturkan setiap lafaz kerana dalam bahasa Arab, perubahan baris atau huruf boleh mengubah makna. Umpamanya dalam surah al-Fatihah, jika kita tertukar huruf pada kalimah الحمد kepada الهمد, maka maksud asal kalimah yang bererti pujian akan berubah kepada kehancuran.

Perubahan makna ini akan menyebabkan solat menjadi tidak sah dan perlu diulang semula. Kesedaran terhadap makna ini membuatkan kita lebih cermat, teliti dan serius ketika membaca, agar maksud asal perkataan tidak terpencong ke arah makna yang lain.

Oleh itu, dengan memahami setiap lafaz yang dibaca, solat berubah daripada sekadar pergerakan rutin kepada perjalanan hati yang mendalam. Solat juga akan menjadi saat yang dinanti, bukan sesuatu yang dibebani.

Kesedaran ini menjadikan seseorang muslim lebih dekat dengan Tuhannya, lebih tenang jiwanya dan lebih kukuh keimanannya. Jom sama-sama kita berusaha untuk memahami bacaan dalam solat kita.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

MOHAMMAD ZARIFF AFIQ BIN ZURIMAN
Mohammad Zariff Afiq Zuriman
Pensyarah Matrikulasi
Jabatan Bahasa (Bahasa Arab)
Pusat Matrikulasi
Universiti Islam Selangor
e-mel: zariffzuriman@uis.edu.my

Hey there! Ask me anything!