ULASAN BERITA
Pengumuman Kerajaan MADANI mengenai dua inisiatif penting berkaitan cukai memberi kelegaan kepada rakyat, khususnya kepada peniaga kecil dan pembayar cukai secara keseluruhan. Ia turut disambut baik oleh semua pihak, termasuk Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA).
Pengumuman pertama, iaitu menaikkan peruntukan bayaran balik cukai daripada RM2 bilion kepada RM4 bilion bertujuan mempercepat bayaran yang masih tertunggak kepada individu, perniagaan kecil dan syarikat.
Manakala pengumuman kedua, iaitu meningkatkan nilai ambang pengecualian e-Invois kepada RM1 juta, bakal menyaksikan perniagaan dengan jualan tahunan bawah jumlah tersebut, tidak lagi diwajibkan menggunakan sistem invois digital mulai 2026.
Langkah ini pada akhirnya menjurus kepada satu matlamat, iaitu membantu rakyat, terutamanya PKS memperoleh lebihan tunai dan pada masa sama, mengurangkan beban mereka.
Semasa mengumumkan perkara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif meningkatkan peruntukan bayaran balik cukai kepada RM4 bilion dilihat perlu. Menurut beliau, Kementerian Kewangan juga sedang meneliti keperluan untuk menambah peruntukan, sekiranya jumlah itu masih tidak mencukupi.
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah pun membuat bayaran balik kepada pembayar cukai yang layak secara berperingkat mulai 8 Disember lepas. Langkah ini membuktikan komitmen kerajaan untuk memulangkan hak pembayar cukai secara adil dan segera.
Realitinya, banyak PKS dan individu menghadapi kekangan tunai disebabkan pembayaran cukai yang melebihi jumlah sebenar. Wang yang diperoleh melalui bayaran balik cukai yang dipercepatkan inilah yang akan membantu menstabilkan aliran tunai PKS dan individu.
Bahkan mereka boleh meningkatkan modal kerja, menampung kos operasi, membayar gaji pekerja dan memastikan perniagaan kekal bertahan. Dalam konteks ekonomi negara secara keseluruhan, langkah ini amat penting memandangkan PKS menyumbang sebahagian besar pekerjaan dan pendapatan kepada negara.
Dengan tatakelola yang baik, kerajaan berkemampuan untuk menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM2 bilion itu, sekali gus menguruskan hutang dengan baik.
Kemampuan kerajaan ini juga dapat dilihat menerusi pelarasan gaji penjawat awam Fasa 2.0 bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang berkuat kuasa Januari tahun depan, melibatkan implikasi kewangan kira-kira RM18 bilion.
Jika dilihat kepada perubahan nilai ambang pengecualian e-Invois pula, rasionalnya langkah kerajaan ini akan turut membantu mengurangkan beban PKS. Sebelum ini, banyak peniaga kecil berasa terbeban dengan keperluan menggunakan sistem digital yang memerlukan kos tambahan dan proses pentadbiran yang kompleks.
Dengan menaikkan nilai ambang pengecualian daripada RM500 ribu sebelum ini, peniaga kecil diberi peluang untuk fokus kepada operasi harian, tanpa terbeban oleh sistem tersebut.
Malah, memberikan mereka masa untuk menyesuaikan proses dalaman dengan sistem e-Invois secara berperingkat, yang akhirnya dijangka meningkatkan kepatuhan PKS secara sukarela terhadap sistem berkenaan. SAMENTA menjangkakan kira-kira 200,000 lagi PMKS dikecualikan daripada e-Invois, tahun depan.
Tidak dinafikan, sistem e-Invois ini sebenarnya mempunyai banyak kelebihan. Menurut LHDN, dalam persekitaran perniagaan yang semakin kompleks, Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) berdepan persaingan sengit, jangkaan pelanggan yang tinggi, serta keperluan pematuhan yang semakin ketat.
Dengan e-Invois, rekod transaksi dan proses pelaporan cukai menjadi lebih lancar, mengurangkan kebergantungan kepada dokumen fizikal, meminimumkan kesilapan, di samping mengurangkan ketirisan. Untuk kekal berdaya saing dan berdaya tahan, banyak negara sudah beralih kepada sistem ini.
Di Malaysia, sejak pelaksanaan e-Invois secara berperingkat dimulakan pada 1 Ogos 2024, lebih 106,000 pembayar cukai berdaftar direkodkan setakat 4 November 2025, melibatkan transaksi melebihi RM675 juta.
Sesungguhnya, langkah kerajaan mempercepat bayaran balik cukai dan menaikkan nilai ambang pengecualian e-Invois jelas membantu meringankan beban dan memberikan nafas baharu kepada PKS. Sekali gus, menunjukkan komitmen kerajaan terhadap keadilan cukai dan sokongan berterusan kepada rakyat, selaras dengan nilai teras Malaysia MADANI, iaitu ihsan.
Ulasan berita ini disediakan oleh Editor Berita RTM, Masniza Awang Kechik.