Rombakan kabinet, pertingkat keberkesanan pentadbiran Kerajaan MADANI

ULASAN BERITA

Selasa lepas (16 Disember 2025), kerajaan sekali lagi merombak barisan kabinetnya. Ia bukan sekadar rombakan biasa, sebaliknya pertukaran menteri dan beberapa individu melibatkan ahli parlimen dan senator. Boleh dikatakan ia merupakan rombakan besar-besaran.

Tujuannya, memperkukuh tadbir urus, meningkatkan keberkesanan pentadbiran dan bagi mempercepatkan agenda reformasi negara. Perubahan barisan Kabinet kali ini juga menyaksikan pelbagai pendapat dalam kalangan orang ramai, bijak pandai dan golongan profesional dilontarkan.

Ramai yang bersetuju dan menyokong keputusan Perdana Menteri itu, tidak kurang juga memberi kritikan untuk lantikan di kementerian tertentu. Biar apa pun reaksinya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil pendekatan jalan terus!

Keputusan telah dibuat, tiada masa untuk bertangguh-tangguh, tiada fasa ‘bulan madu’ bagi menteri dan timbalan menteri yang baharu dilantik, mereka terus di ‘kerah’ untuk bekerja dan berkhidmat untuk rakyat.

Sehari selepas pengumuman tersebut, Datuk Seri Anwar terus mempengerusikan Mesyuarat Jemaah Menteri. Beliau mahu anggota Kabinet untuk terus bekerja dengan berdisiplin, bagi memastikan pelaksanaan dasar Kerajaan MADANI bergerak dengan pantas.

Jadi, jelas rombakan kali ini bukanlah bersifat retorik mahu pun politik semata, sebaliknya dilaksanakan benar-benar bagi memastikan kerajaan hari ini dapat melaksanakan tugasnya dengan lebih pantas dan berkesan.

Fokus utama adalah kebajikan rakyat, termasuk, pengukuhan jaringan keselamatan sosial, penjanaan pekerjaan berkualiti, dan peningkatan mutu perkhidmatan awam.

Pun begitu, terdapat beberapa lantikan yang menjadi perhatian, seperti dua pemimpin berbangsa Cina bagi portfolio Kementerian Wilayah Persekutuan iaitu Hannah Yeoh dari parti DAP sebagai menteri dan Datuk Lo Su Fui dari GRS sebagai timbalannya.

Ada pihak yang membangkitkan kebimbangan sama ada kepentingan dan pembangunan semua kaum di kawasan bandar mendapat pembelaan sewajarnya susulan lantikan tersebut.

Bagaimanapun, kebimbangan tersebut disifatkan tidak berasas. Lantikan Menteri Wilayah Persekutuan dari kalangan bangsa Cina perlu dinilai berdasarkan prestasi dan keupayaan mentadbir, bukan daripada latar belakang kaum atau agama kerana sudut pandang tersebut dilihat sebagai sentimen sempit yang boleh memecah-belahkan rakyat.

Dalam banyak lantikan, tumpuan turut diberi kepada teraju Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) yang baharu, iaitu Datuk Seri Johari Abdul Ghani. Beliau menggantikan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang telah menamatkan khidmat sebagai senator.

Jelas, keputusan menempatkan Datuk Seri Johari di MITI merupakan pertimbangan yang tepat dan strategik dilakukan Perdana Menteri demi kepentingan ekonomi Malaysia. Perkara tersebut diakui sendiri Tengku Datuk Seri Zafrul yang kini bertanggungjawab mengetuai Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia – MIDA.

Beliau menyatakan kerjasama erat antara MIDA dan MITI diyakini dapat menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi ke dalam negara, sekali gus meningkatkan daya saing Malaysia di peringkat antarabangsa.

Tengku Datuk Seri Zafrul turut menyatakan komitmen beliau untuk bekerjasama dan membantu kementerian tersebut apabila diperlukan, terutama bagi memastikan dasar dan hala tuju pelaburan negara sentiasa kekal kukuh. Selain dua perkara tersebut, turut menarik perhatian adalah kepercayaan berterusan Perdana Menteri terhadap tenaga muda sebagai menteri penuh.

Kabinet baharu beliau menyaksikan Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, 39 tahun, menjawat Menteri Ekonomi, Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup, 43 tahun sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam dan, paling muda, Dr Mohammed Taufiq Johari, 29 tahun, menerajui Kementerian Belia dan Sukan.

Pesan Datuk Seri Anwar, sebagai menteri baharu, usah tergesa-gesa membuat keputusan berkaitan dasar dan hala tuju kementerian. Beliau turut menekankan kepentingan untuk merangka dasar kementerian dengan teliti, selain mahu menteri-menteri baharu memberi ruang untuk mendengar pandangan pegawai dan penjawat awam sebelum membuat sebarang keputusan.

Ia bertujuan memahami sistem pentadbiran kerajaan dan mekanisme Mesyuarat Jemaah Menteri terlebih dahulu. Rombakan Kabinet kali ini juga bersifat lebih menyeluruh dengan komposisi wakil dari setiap kaum diberikan ruang dan peluang untuk terus berkhidmat untuk memacu negara terus ke hadapan.

Ulasan berita ini disediakan oleh Editor Berita RTM, Ashriq Fahmy Ahmad.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.