KUCHING, 29 November -Semua 12 projek Kampung Angkat MADANI bawah pelbagai agensi Kementerian Dalam Negeri hampir siap sepenuhnya dengan perbelanjaan RM12 juta.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, kejayaan tersebut berikutan pemantauan ketat agensi dan kerjasama rapat dengan komuniti setempat.
“Uniknya program ini adalah tiada projek terbengkalai. Semuanya diselesaikan oleh agensi dalam julat masa yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas perasmian penutupan Kampung Angkat Madani Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia di Kampung Sindang, Kota Samarahan.
Beliau turut menjelaskan baki projek yang sedang berjalan hanya sekitar 20 peratus dan dijangka siap sepenuhnya tahun ini.
Program Kampung Angkat MADANI memberi tumpuan kepada naik taraf infrastruktur kecil, kemudahan masyarakat dan pengindahan kampung di seluruh negara.