JOHOR BAHRU, 3 Disember – Seramai 1,280 pegawai dan anggota polis berada dalam keadaan siap siaga menghadapi bencana banjir di 874 lokasi berisiko di seluruh Johor.
Ketua Polis Johor, Datuk A.B. Rahaman Arsad berkata, persiapan itu dilakukan susulan Monsun Timur Laut yang melanda sejak November lalu hingga Januari depan.
Kesiapsiagaan turut diperkasa membabitkan lebih 900 aset dan fasiliti merangkumi darat, udara dan air.
“Sekiranya banjir semakin kritikal, jumlah kekuatan polis akan ditambah berdasarkan kekuatan sedia ada di kontingen Johor. Secara keseluruhan, kontingen Johor mempunyai lebih 9,000 pegawai dan anggota yang boleh digerakkan sekiranya keadaan memerlukan,” katanya.
Batu Pahat dikenal pasti daerah paling berisiko dengan 278 lokasi tumpuan banjir, diikuti Segamat, 118 lokasi dan Muar, 99 lokasi.
Cuti membabitkan pegawai dan anggota polis kontinjen Johor turut dihadkan kepada 20 peratus sepanjang Musim Monsun Timur Laut.