KEMAMAN, 6 Disember – Tindakan pantas dan koordinasi berkesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menerusi Zon Maritim Kemaman berjaya menyelamatkan kesemua 15 anak kapal sebuah kapal kargo yang membawa muatan tanah liat.
Kapal berkenaan mengalami kebocoran serius semasa dalam pelayaran dari Lumut, Perak ke Vietnam awal pagi tadi.
Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Abdul Halim Hamzah berkata, insiden berlaku kira-kira 59 batu nautika timur laut Merchang sekitar pukul 1 pagi.
Menurut beliau, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuantan segera mengaktifkan prosedur kecemasan dan mengarahkan kapal terbabit menghampiri daratan bagi meminimumkan risiko.
Susulan itu, kapal peronda Maritim Malaysia, KM Sebatik, diatur gerak ke lokasi dan melaksanakan pemindahan anak kapal dengan selamat di kedudukan kira-kira lima batu nautika timur Kampung Jambu Bongkok.
Kesemua mangsa berusia antara 21 hingga 54 tahun berjaya dibawa ke Jeti Zon Maritim Kemaman pada pukul 6.05 petang tadi untuk pemeriksaan kesihatan sebelum diserahkan kepada pihak berkenaan.