RAUB, 6 Disember -Seramai 24 penduduk Kampung Ulu Sungai, di sini kembali dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS), selepas kawasan kediaman mereka dinaiki air banjir, pagi tadi.
Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), 11 keluarga terlibat ditempatkan di PPS Balairaya Kampung Ulu Sungai, Batu Malim.
Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Raub memaklumkan, PPS berkenaan mula dibuka sejak 8.30 pagi tadi.
“Ini merupakan kali ketiga PPS berkenaan dibuka bagi penempatan penduduk terjejas, selepas kali terakhir ditutup pada 29 November lalu,” menurut sekretariat itu.
Selain PPS Balairaya Kampung Ulu Sungai itu, seramai tujuh penduduk daripada sebuah keluarga juga masih ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Kuantan.
Menjadikan jumlah penduduk terjejas di Pahang kembali meningkat kepada 31 orang, setakat 12.00 tengah hari tadi.