30,000 unit RMMJ siap menjelang tahun hadapan

KULAI, 6 Disember – Sebanyak 30,000 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) secara keseluruhan dijangka siap dibina menjelang tahun hadapan, dengan harga antara serendah RM50,000 hingga RM300,000 seunit.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, setakat ini sebanyak 20,100 unit telah siap dibina dan diserahkan kepada pembeli, manakala baki 9,900 unit dijangka siap menjelang hujung tahun hadapan.

Menurut beliau, jumlah itu sekali gus melengkapkan sasaran dalam tempoh lima tahun sejak program berkenaan dimulakan pada tahun 2022.

“Daripada 30,000 unit rumah mampu milik itu, 15,000 unit berada di kawasan bandar seperti Pasir Gudang, Tebrau, Kulai, Johor Bahru, Bandar Johor Bahru dan juga Kota Iskandar.

“Harga ditawarkan antara RM50,000 hingga RM300,000 dan setakat ini pembinaan hampir merangkumi kesemua 10 daerah di negeri Johor,” katanya.

Beliau turut menyasarkan sebanyak 70,000 unit tambahan bakal dibina antara tahun 2027 hingga 2030, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan 100,000 unit RMMJ.

Datuk Mohd Jafni berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Kick-Off Inisiatif Belanjawan Johor 2026 (Perumahan Kasih Johor) di sebuah pusat membeli-belah, di Kulai.

Dalam majlis sama, tiga inisiatif Bantuan Perumahan Kasih Johor (PKJ) 2026 turut dilancarkan, termasuk PKJ Bantuan Sewa Rumah berjumlah RM200 sebulan selama 10 bulan kepada penyewa di bawah rumah kerajaan.

Selain itu, bantuan secara sekali beri sebanyak RM2,000 diberikan kepada pembeli rumah pertama RMMJ yang menerima kunci menerusi PKJ Bantuan Masuk Rumah Pertama.

Turut diperkenalkan, bantuan secara sekali beri sebanyak RM5,000 kepada pembeli rumah pertama RMMJ, Lot Bumiputera dan Pasaran Sekunder bagi tahun hadapan.

Hey there! Ask me anything!