50 penjawat awam terima kunci rumah PPAM MADANI Prestige Residence

PUTRAJAYA, 7 Disember – Seramai 50 penjawat awam menerima kunci kediaman masing-masing di Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) MADANI Prestige Residence, Taman Equine, Seri Kembangan.

Majlis serah kunci yang disempurnakan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar itu, sebagai simbol komitmen berterusan kerajaan dalam menyediakan kediaman berkualiti kepada penjawat awam.

Sehingga 30 November lalu, sebanyak 57,514 unit rumah telah disediakan di seluruh negara melalui inisiatif PPAM hasil kerjasama strategik awam swasta.

Menariknya, 94 peratus penerima PPAM terdiri daripada penjawat awam berpendapatan di bawah RM6,000. Ia sekali gus membuktikan program tersebut berjaya mencapai matlamat membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana memiliki rumah yang selesa.

Menurut data Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), purata harga rumah di Malaysia bagi tahun 2025 meningkat kepada RM486,070 seunit.

Namun, melalui PPAM, para penjawat awam berjaya memperoleh unit kediaman di Prestige Residence pada harga RM291,000 bagi rumah berkeluasan 850 kaki persegi, jauh lebih rendah daripada harga pasaran semasa.

Projek tersebut yang siap pada 22 Oktober lalu merupakan antara inisiatif PPAM yang menyediakan kediaman di lokasi strategik yang mempunyai akses mudah ke pelbagai kemudahan awam.

Pelaksanaannya turut menjadi bukti sokongan kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat selaras dengan aspirasi MADANI.

Kerajaan MADANI di bawah Kerangka Ekonomi MADANI dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) menyasarkan penyediaan 500,000 unit rumah mampu milik, dengan PPAM menjadi antara pemacu utama dalam mencapai sasaran tersebut di seluruh negara.

Majlis turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri Datuk Abd Shukor Mahmood, dan Profesor Khas dari Universiti Teknologi Malaysia Prof. Sr Dr. Maimunah Sapri.

Hey there! Ask me anything!