5,000 pengunjung hadiri Malaysiaku Berselawat di Putrajaya

PUTRAJAYA, 5 Disember – Kira-kira 5,000 pengunjung menghadiri Program Malaysiaku Berselawat bersempena dengan penganjuran Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku yang berlangsung meriah di Dataran Putrajaya di sini, malam tadi.

Program anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bawah Segmen Ukhuwah Rakyat MADANI itu mendapat sambutan daripada masyarakat yang bersama-sama mengalunkan selawat sebagai tanda cinta kepada Nabi Muhammad SAW.

Majlis turut diserikan dengan persembahan Qasidah Nur Ahli Badar, Qasidah Ahbabusham dan Tausiyah Khas oleh pendakwah, Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar turut mengahdiri program berkenaan.

Terdahulu, Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025 (Rancakkan MADANI) membuka tirai pada 5 Disember di Dataran Putrajaya dengan pelbagai pengisian untuk manfaat rakyat.

Program tiga hari hingga 7 Disember itu dirancang dengan penuh rapi daripada segi aspek pengisian ilmiah, logistik, keselamatan tapak dan keselesaan bagi menarik pengunjung pelbagai lapisan masyarakat.

Program Rancakkan MADANI dijangka menarik lebih 300,000 pengunjung dan menjadi program komunikasi rakyat terbesar anjuran Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Pejabat Perdana Menteri dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Selain pengisian dasar, pengunjung berpeluang menikmati Program Jualan MADANI yang menawarkan potongan harga bagi barangan keperluan sekolah, menukar topi keledar secara percuma dan menghadiri karnival kerjaya.

Hey there! Ask me anything!