58 individu terima Anugerah Premis Makanan, Tandas Bersih 2025

PETALING JAYA, 4 Disember – Seramai 58 individu menerima anugerah pada Majlis Anugerah Premis Makanan dan Tandas Bersih 2025 anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya, Aznan Hassan, berkata, 43 penerima bagi kategori Premis Makanan dan 15 penerima bagi kategori Tandas Awam.

Penyampaian anugerah tersebut bertujuan mengiktiraf pengusaha premis makanan dan pengendali tandas awam yang mencapai standard Bersih, Menawan dan Wangi (BMW) serta meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan penjagaan kebersihan secara konsisten.

“Jadi, kita berharap semua usaha ini termasuk penilaian kebersihan tandas bukan sahaja di kawasan awam tertentu tetapi juga di peringkat sekolah supaya dapat memberi kesedaran yang lebih meluas.

“Kami percaya pendidikan kebersihan perlu bermula di sekolah kerana di situlah segala pembentukan sikap bermula. Dengan pendekatan ini, kita berharap elemen kebersihan dapat dijadikan keutamaan dalam kehidupan seharian masyarakat, khususnya di Petaling Jaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Anugerah Premis Makanan dan Tandas Bersih 2025 anjuran MBPJ, di sini hari ini.

Dalam pada itu Aznan turut memaklumkan bahawa sebanyak 230 premis makanan diarah tutup selepas gagal mematuhi standard kebersihan yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Aznan berkata, operasi penguatkuasaan dijalankan hampir setiap hari, melibatkan pemeriksaan menyeluruh terhadap premis makanan serta tandas awam.

Tindakan penutupan premis adalah langkah awal sebelum sebarang pembatalan lesen dipertimbangkan.

“Kita mengamalkan kaedah penutupan sementara terlebih dahulu. Jika kesalahan berulang, barulah kes dibawa ke mesyuarat untuk mencadangkan pembatalan lesen dan bukan terus dibatalkan serta-merta.

“Pengusaha diberikan ruang untuk membersihkan premis dan mematuhi peraturan yang ditetapkan. Selepas itu, penilaian semula akan dibuat. Jika masih tiada perubahan ketara, barulah tindakan yang lebih tegas diambil,” katanya.

Aznan turut menyeru orang ramai supaya menyalurkan aduan dengan segera sekiranya mendapati premis makanan tidak mematuhi tahap kebersihan, bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.

Hey there! Ask me anything!