KUALA LUMPUR, 4 November – Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) kini menjadi keperluan dalam sektor pertanian moden bagi meningkatkan produktiviti, mengurus risiko dan memastikan hasil tanaman lebih berkualiti.
Perkembangan itu turut membantu menangani cabaran kekurangan tenaga kerja mahir susulan ramai petani berpengalaman menghampiri usia persaraan.
Pengarah merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Agroz, Gerard Lim Kim Meng, berkata kemampuan AI menganalisis data lampau dan mengenal pasti punca masalah menjadikannya alat penting bagi membantu petani membuat keputusan dengan lebih tepat dan pantas.
“Dengan AI, walaupun seorang petani itu masih baharu, mereka hanya ambil gambar dan sistem terus memberi cadangan serta ramalan keadaan tanaman beberapa minggu lebih awal,” katanya pada sidang media pelancaran Agroz Robotic di ibu negara.
Beliau menjelaskan, keupayaan AI membuat jangkaan awal membolehkan petani mengambil langkah pencegahan sebelum masalah berlaku, sekali gus mengurangkan kerugian dan meningkatkan kualiti hasil.
Aplikasi mudah alih berasaskan AI turut membantu mempercepat proses diagnosis penyakit tanaman, pemantauan nutrien serta pengurusan persekitaran tanaman secara lebih konsisten.
Gerard optimis teknologi itu akan memperkasa lebih ramai petani muda untuk menyertai industri, selain menjadikan sektor pertanian lebih menarik, efisien dan berdaya saing.
“Menerusi sokongan teknologi, sesiapa sahaja berpeluang menjadi petani yang berjaya,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Agroz, Gerard Lim Kim Meng