KUALA LUMPUR, 5 Disember – Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh menegaskan bahawa penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam sistem kehakiman tidak akan sesekali menggantikan peranan hakim dalam membuat keputusan terakhir ketika menjatuhkan hukuman.
Menurut beliau, walaupun AI kini digunakan oleh majistret dan hakim Mahkamah Sesyen di Sabah dan Sarawak bagi membantu menganalisis trend hukuman untuk kesalahan jenayah, teknologi itu hanya berfungsi sebagai panduan dan tidak mengikat keputusan hakim.
Dalam temu bual khas sempena 100 hari beliau menerajui badan kehakiman, Wan Ahmad Farid berkata mahkamah di Semenanjung Malaysia turut dalam peringkat meneroka penggunaan AI bagi tujuan yang sama.
Namun, jelasnya, AI tidak memiliki pertimbangan moral atau empati manusia yang penting dalam menentukan hukuman yang adil.
“Tetapi aspek kemanusiaan itu tiada pada AI. Hakim, majistret dan hakim Mahkamah Sesyen tetap perlu menggunakan kebijaksanaan mereka untuk memutuskan sesuatu kes,” katanya di Istana Kehakiman.
Beliau memberi contoh bahawa dua pesalah mungkin melakukan jenayah yang sama, namun faktor-faktor penting seperti rekod lampau atau latar belakang kes boleh membawa kepada hukuman berbeza sesuatu yang sukar dinilai dengan tepat oleh AI.
“Walaupun AI membantu, ia bukan penentu terakhir. Hakim yang mesti membuat keputusan,” tegasnya.
Dalam masa sama, badan kehakiman sedang meneliti potensi AI untuk meningkatkan kualiti penulisan alasan penghakiman serta mempercepatkan proses penyampaian keputusan mahkamah, termasuk membantu menunjukkan trend hukuman bagi kesalahan tertentu.
Beliau yakin penerapan teknologi ini dengan pengawasan manusia yang sepenuhnya mampu meningkatkan kecekapan sistem kehakiman tanpa menjejaskan prinsip keadilan.