KUALA LUMPUR, 29 November -Amaran hujan berterusan tahap bahaya, buruk dan waspada yang dikeluarkan di beberapa negeri pada 4.30 petang semalam, ditamatkan hari ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan memaklumkan, penamatan itu melibatkan amaran hujan tahap bahaya di beberapa kawasan di Terengganu, iaitu Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman serta tahap buruk di Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Hulu Terengganu.
“Amaran hujan berterusan tahap buruk yang turut dikeluarkan bagi Pahang (Jerantut dan Kuantan) juga ditamatkan.
“Selain itu, penamatan membabitkan amaran tahap waspada di Kelantan, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, serta Perak (Hulu Perak, Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim), Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Bentong, Temerloh, Maran, Bera dan Pekan), dan Negeri Sembilan (Jelebu),” menurut kenyataan itu.