KUALA LUMPUR, 7 Disember- Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan membabitkan beberapa negeri di Semenanjung dan Sarawak susulan keadaan cuaca tidak menentu yang dijangka berlarutan sehingga awal minggu depan.
Menurut kenyataan METMalaysia, hujan berterusan dijangka berlaku di Kelantan membabitkan daerah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh, selain seluruh Terengganu serta beberapa daerah di Pahang, iaitu Kuantan, Pekan dan Rompin.
Hujan berterusan turut dijangka di Johor meliputi Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru sehingga esok.
Turut dijangka mengalami keadaan sama dalam tempoh berkenaan adalah di Sarawak, kawasan Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah dan Bintulu.
METMalaysia menasihatkan orang ramai khususnya di kawasan berisiko agar berwaspada terhadap kemungkinan berlakunya banjir kilat, tanah runtuh dan kenaikan paras air sungai.
Dalam pada itu, pada 5 Disember lalu, METMalaysia memaklumkan satu sistem cuaca bertekanan rendah dikesan di Timur Filipina dan diramal bergerak ke barat merentasi Laut China Selatan mulai hari ini sehingga 9 Disember.
Keadaan ini berpotensi menyebabkan hujan lebat berterusan di Sabah dan Sarawak dalam tempoh berkenaan, seterusnya berkemungkinan berlakunya luruan monsun pada 13 hingga 15 Disember yang membawa hujan lebat di timur Semenanjung.

