Angka penduduk terjejas banjir Pahang berkurangan

TEMERLOH, 30 November – Situasi banjir di Pahang terus menunjukkan perkembangan positif apabila jumlah penduduk terjejas berkurangan kepada 1,151 orang setakat pukul 12.00 tengah hari, berbanding 1,328 orang pada pukul 8.00 pagi tadi.

Kesemua 379 keluarga yang terlibat kini ditempatkan di 37 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di enam daerah terjejas.

Menerusi portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Lipis merekodkan jumlah penduduk paling ramai terjejas iaitu 515 orang yang ditempatkan di 19 PPS.

“Ini diikuti daerah Raub dengan 230 orang terjejas, Temerloh (186 orang), Kuantan (84 orang), Jerantut (75 orang) dan Maran (61 orang),” menurut kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, berdasarkan laman web Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), sebanyak tiga sungai di Pahang melepasi paras bahaya dengan dua daripadanya di Bera iaitu Sungai Triang di Jambatan Keretapi dan Sungai Pahang di Waterfront.

Turut melepasi paras bahaya ialah Sungai Pahang di Kuala Krau, Temerloh.

Hey there! Ask me anything!