PUTRAJAYA, 18 Disember – Perbadanan Putrajaya (PPj) terus memperkukuh usaha meningkatkan tahap kebersihan kemudahan awam menerusi penganjuran Majlis Anugerah Premis Makanan Bersih dan Tandas Awam Bersih, Menawan dan Wangi (BMW) Peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya 2025.
Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Mohd Sakeri Abdul Kadir berkata, penganjuran anugerah berkenaan bertujuan mengiktiraf premis yang mencapai tahap kecemerlangan dari segi kebersihan, pengurusan operasi dan pematuhan peraturan, selain memperkukuh kesedaran tentang kepentingan mengekalkan standard kebersihan secara konsisten.
“Sebagai pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan dan juga destinasi pelancongan negara, imej Putrajaya banyak dinilai melalui kualiti premis makanan dan tandas awam.
“Justeru, inisiatif penganugerahan ini dilaksanakan bagi mengangkat standard kebersihan Wilayah Persekutuan Putrajaya selari dengan aspirasi CHASE City 2025–2029, ke arah persekitaran bandar yang lebih bersih, lebih sihat, lebih selamat dan berdaya huni,” katanya ketika merasmikan majlis tersebut di sini.
Seramai 150 jemputan terdiri daripada pengusaha premis makanan serta pengendali tandas awam di sekitar Putrajaya menghadiri majlis itu.
PPj terus melakukan pemantauan kebersihan serta keselamatan makanan di premis makanan secara berterusan, dengan syarat setiap premis perlu mencapai gred A atau B untuk terus beroperasi, manakala tandas awam disasarkan memperoleh penarafan sekurang-kurangnya empat bintang.
Bagi memastikan sasaran tersebut dicapai, pengauditan penarafan bintang tandas awam dilaksanakan dua kali setahun, manakala pemeriksaan dan penggredan premis makanan dijalankan secara berkala mengikut garis panduan yang ditetapkan.
Datuk Mohd Sakeri turut menyeru pengusaha premis dan pengendali tandas awam agar terus membudayakan amalan kebersihan, di samping mengajak orang awam menggunakan kemudahan awam secara berhemah selaras dengan slogan “Fasiliti Kita, Tanggungjawab Kita”.