APM Kemaman tangkap ular sawa 200kg telan kambing penduduk

KEMAMAN, 23 November – Angkatan Pertahanan Awam (APM) Malaysia, Daerah Kemaman menangkap seekor ular sawa batik seberat lebih 200 kilogram di sebuah rumah penduduk di Kampung Padang Lalang, Binjai, Kemaman, Terengganu pagi tadi.
 
Ketika ditangkap, reptilia sepanjang kira-kira lapan meter itu dipercayai sedang kekenyangan selepas dikatakan menelan seekor kambing peliharaan penduduk kampung berkenaan.
 
Timbalan Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kemaman, Leftenan (PA) Nassrudin Zulkifley berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada seorang penduduk kira-kira pukul 10.30 pagi.
 
Menurutnya, sejurus menerima panggilan, seramai empat anggota telah dikejarkan ke lokasi kejadian dan selepas pemeriksaan dilakukan, pihaknya menemui ular berkenaan sedang kekenyangan berhampiran kandang peliharaan kambing milik penduduk.
 
Pihak APM mengambil masa lebih 30 minit sebelum berjaya menangkap reptilia berkenaan yang agak besar dan berat selepas menelan seekor kambing seberat 20 kilogram.
 
“Dalam masa sama dimaklumkan ular itu telah menelan seekor kambing yang dipelihara oleh tuan rumah dan anggota kita memgambil masa lebih kurang setengah jam untuk menangkap ular sawa berkenaan,” katanya.
 
Menurut Leftenan (PA) Nassrudin, pihaknya telah membawa ular berkenaan ke pusat kawalan operasi APM daerah Kemaman sebelum diserahkan kepada pihak berkenaan.
 
Penduduk dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dengan kehadiran binatang berbisa ke kawasan rumah ekoran musim tengkujuh ini dan segera menghubungi APM jika berdepan dengan situasi itu.  
 
Dalam perkembangan sama, Leftenan (PA) Nassrudin berkata, bermula Januari hingga Oktober 2025, APM daerah Kemaman telah berjaya menangani sebanyak 961 kes berkaitan ular berbisa dan sehingga 22 September sahaja sebanyak 98 kes telah diselesaikan pihaknya.

Hey there! Ask me anything!