ARPA pertingkat mutu penyampaian perkhidmatan awam

PUTRAJAYA, 6 Disember – Pelaksanaan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) memastikan kecekapan pentadbiran kerajaan dipertingkat di semua peringkat secara menyeluruh.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, pelbagai pembaharuan digerakkan menerusi agenda itu agar mutu penyampaian perkhidmatan awam di setiap agensi lebih responsif terhadap keperluan rakyat.

“Pada petang tadi juga, saya telah mengadakan sidang pleno bersama semua Setiausaha Kerajaan Negeri untuk kita laksanakan reformasi perkhidmatan awam, bukan saja di peringkat Kerajaan Persekutuan, tetapi juga di peringkat Kerajaan Negeri dan juga Kerajaan Tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku dan Konvensyen Reformasi Perkhidmatan Awam 2025 di sini.

Setakat tengah hari tadi, seramai 177,000 pengunjung terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat hadir memeriahkan pelbagai acara dan aktiviti menarik yang dianjurkan bersempena program berkenaan.

Program anjuran Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) itu berlangsung selama tiga hari dengan lebih 300 perkhidmatan sentuhan rakyat, karnival kerjaya, pameran interaktif serta aktiviti keluarga diadakan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menutup program pada pukul 11 pagi Ahad.

Menurut Tan Sri Shamsul, Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku menjadi kesinambungan pelaporan tahunan kerajaan kepada rakyat.

“Kemuncaknya adalah kita akan mendengar amanat Perdana Menteri, namun sebelum itu kita ada forum bersama kedua-dua Timbalan Perdana Menteri melibatkan perkara yang kita lakukan dalam tempoh tiga tahun lepas dan perancangan masa hadapan,” katanya.

Hey there! Ask me anything!