LABUAN, 6 Disember – Penganjuran Program Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) terus memperlihatkan sebagai platform penting dalam membentuk generasi belia berkemahiran, sekali gus mempersiapkan mereka menghadapi cabaran masa depan.
Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Simsudin Sidek berkata, potensi tenaga muda mampu mencorakkan masa depan negara ke arah berprestasi tinggi.
“Ini kerana golongan muda telah memanfaatkan masa dan kemahiran dengan menyertai program yang telah disediakan.
“Golongan belia yang menyertai ARPRM dapat meneruskan ke tahap lebih tinggi sehingga ke peringkat antarabangsa, sekali gus mampu mengharumkan nama Labuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Kesukarelawanan Belia Malaysia 2025 dan Majlis Pertauliahan ARPRM peringkat Labuan yang berlangsung di Teratai Square Ujana Kewangan di sini.
Pada majlis itu, seramai 255 peserta rakan muda menerima pengiktirafan Anugerah Perak dan Gangsa ARPRM.
Majlis turut dihadiri Penolong Pengarah Belia Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Labuan Tracy Tumay Rigar dan Ketua Penolong Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Labuan, Samsul Mandisin.
Beliau turut menyatakan rasa bangga apabila dua peserta dari Labuan berjaya menerima pengiktirafan Tahap Emas ARPRM di peringkat kebangsaan pada 10 November lalu.
ARPRM merupakan inisiatif strategik utama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang diadaptasi daripada The Duke of Edinburgh’s International Award.
Program itu bertujuan memperkukuh peranan Rakan Muda dalam membentuk belia berusia antara 14 hingga 24 tahun agar memiliki ciri kepimpinan, jati diri yang kukuh serta semangat kesukarelawanan yang tinggi.
Pada tahun ini, seramai 76 penerima Tahap Emas telah ditauliahkan, menjadikan jumlah keseluruhan penerima Tahap Emas kini melebihi 1,886 orang sejak program itu diperkenalkan pada tahun 2000.
Tahap Emas merupakan pengiktirafan tertinggi dalam program ARPRM yang bukan sahaja menzahirkan kecemerlangan individu, tetapi turut berperanan sebagai platform pembangunan kepimpinan dan keterlibatan belia di peringkat antarabangsa.