KUALA LUMPUR, 5 Disember – Industri fesyen kini muncul sebagai medium diplomasi budaya yang berpengaruh, sekali gus membuka ruang lebih luas untuk Malaysia menonjolkan identiti serta keunikan warisannya di peringkat serantau dan antarabangsa.
Pengerusi Majlis Perniagaan Malaysia-China (MCBC), Tan Sri Low Kian Chuan berkata, fesyen disifatkan sebagai ‘bahasa’ universal yang mampu merentas sempadan, budaya dan generasi.
Gabungan warisan tempatan, kreativiti pereka muda serta inovasi industri telah meletakkan Malaysia pada landasan tepat untuk memperkukuh imej negara di mata dunia.
“Acara ini menandakan satu pencapaian penting apabila enam negara ASEAN, Brunei, Indonesia, Singapura, Thailand, Vietnam dan Malaysia berkumpul dalam semangat persahabatan dan tujuan bersama.
“Menerusi inisiatif seperti ini, kita memperkukuh hubungan budaya yang menyatukan rakyat serta menyerlahkan ASEAN sebagai sebuah rantau yang penuh kreativiti dan inovasi,” katanya ketika berucap pada ASEAN Fashion & Culture Diplomacy 2025 di sini.
Penganjuran acara yang menghimpunkan bakat dari Malaysia, Singapura, Brunei, Thailand, Indonesia dan Vietnam itu membuka ruang besar untuk memperkukuh jenama Malaysia sebagai hab fesyen, budaya dan kreativiti serantau.
Diplomasi budaya melalui fesyen mampu mendekatkan negara-negara ASEAN, sekali gus membuka lebih banyak peluang dalam pelancongan, perniagaan, dan pertukaran budaya.
“Malaysia mempunyai kekayaan warisan dan kreativiti yang boleh dibanggakan. Dengan memanfaatkan industri fesyen sebagai platform diplomasi, kita bukan sahaja mempromosi Malaysia, tetapi juga memperkukuh kedudukan negara sebagai pemain utama dalam ekonomi kreatif ASEAN,” katanya lagi.