ASEAN, Jepun, AS perkukuh komitmen keamanan serantau

KUALA LUMPUR 1 November – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, menegaskan semua negara anggota ASEAN serta rakan strategik seperti Jepun dan Amerika Syarikat komited untuk terus memperkukuh kerjasama pertahanan dan kemanusiaan bagi mengekalkan keamanan, keselamatan dan kemakmuran di rantau Indo-Pasifik.

Beliau berkata kesemua pemimpin Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN-Plus (ADMM-Plus) telah berkongsi visi bersama mengenai keamanan dan kemanusiaan, serta menyatakan sokongan terhadap ‘ASEAN Centrality’ sebagai asas kepada kestabilan dan kesejahteraan rantau ini.

“ADMM-Plus bukan sekadar platform untuk Menteri Pertahanan bertemu, tetapi ruang penting untuk membincangkan isu-isu sensitif dan serius secara jujur serta terbuka. Perbezaan pandangan diakui, namun ia diuruskan dengan baik demi mencapai tujuan bersama memastikan rantau ini kekal aman dan stabil,” 

Tambahnya, semua negara anggota dan rakan luar ADMM-Plus turut bersetuju untuk memperkukuh ‘unity of purpose’ dalam mempertingkatkan kerjasama strategik serantau.

Dalam masa sama, Datuk Seri Khaled menjelaskan, dalam pertemuan bersama wakil Jepun, Malaysia dan ASEAN menyambut baik cadangan penubuhan dua inisiatif baharu iaitu ‘Japan-ASEAN Ministerial Initiative for Enhanced Defence Cooperation (JASMIN)’ dan ‘One Cooperative Effort Among Nations (OCEAN)’.

Kedua-dua inisiatif ini, jelas beliau, memberi tumpuan kepada peningkatan keupayaan pertahanan negara-negara ASEAN termasuk dalam bidang keselamatan maritim, bantuan bencana kemanusiaan (HADR) serta peranan wanita dalam misi kemanusiaan dan bencana.

“Kita menyambut baik usaha Jepun untuk memperkukuh kerjasama ini kerana ia membantu membangunkan keupayaan pertahanan serantau secara menyeluruh,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) ke-19 dan Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN-Plus (ADMM-Plus) ke-12 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Sementara itu, dalam pertemuan bersama Amerika Syarikat, beliau berkata Washington menzahirkan komitmen meneruskan dasar ‘Peace with Strength’, dengan menyatakan kesediaan membantu negara-negara ASEAN menghadapi pelbagai cabaran keselamatan, termasuk di Laut China Selatan.

“Kita menyambut baik komitmen Amerika, namun kita tegaskan bahawa sebarang bentuk kerjasama mesti berasaskan kepada usaha kolektif di bawah kerangka ADMM dan ADMM-Plus serta berpaksikan ‘ASEAN Centrality,’” katanya.

Beliau turut mengulas penegasan Setiausaha Perang Amerika Syarikat Pete Hegseth, bahawa Amerika Syarikat kekal sebagai sebahagian daripada negara Pasifik dan akan terus memainkan peranan penting dalam menyokong keamanan serta kestabilan rantau ini.

Sidang media itu menandakan penutupan Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) ke-19 dan ADMM-Plus ke 12 di Kuala Lumpur, sebelum Filipina mengambil alih giliran sebagai Pengerusi tahun hadapan.

 

Hey there! Ask me anything!