Banduan larikan diri ditangkap semula di Kluang

JOHOR BAHRU, 4 Disember – Polis berjaya menahan seorang banduan yang melarikan diri daripada tahanan dalam tempoh kurang satu jam selepas dia dilaporkan hilang petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Bahrin Mohd Noh dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada 4.25 petang daripada seorang pegawai Penjara Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) Jalan Mersing, Kluang.

“Susulan daripada maklumat tersebut, pihak polis dari IPD Kluang bersama Jabatan Penjara Daerah Kluang mengesan dan mencari saspek yang melarikan diri.

“Pada tarikh sama, kira-kira 5.30 petang pihak Jabatan Penjara Daerah Kluang berjaya membuat tangkapan terhadap seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 26 tahun yang merupakan banduan yang telah melarikan diri dari tahanan di kawasan berhampiran reban ayam Kampung Sri Timur, Kluang,” menurut kenyataan itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 233 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya, serta Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya.

Hey there! Ask me anything!