BESUT, 24 November – Situasi kawasan terjejas banjir di Besut terkawal dan tiada peningkatan penduduk yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) direkodkan setakat ini.
- Situasi banjir di Besut terkawal; tiada peningkatan pemindahan penduduk ke PPS setakat ini.
- 285 orang masih berlindung di sebuah PPS mengikut rekod NDCC/NADMA.
- 509 anggota agensi penyelamat dikerahkan termasuk polis, bomba, APM dan ATM untuk rondaan dan penugasan.
- Kemas kini cuaca dilakukan setiap empat jam bersama MET Malaysia untuk pemantauan berterusan.
- Nasihat keselamatan: elak pantai, sungai, air terjun dan aktiviti mendaki kerana ombak besar dan risiko bahaya.
Berdasarkan Portal Bencana Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), sehingga 3:00 petang seramai 285 orang kekal berlindung di sebuah PPS di daerah tersebut.
Menurut Ketua Polis Besut ACP Azamuddin Ahmad @ Abu, meskipun cuaca agak baik, namun semua agensi penyelamat kini menjalankan penugasan termasuk rondaan di kawasan telah dikenalpasti.
Di Besut katanya, terdapat 509 pegawai dan anggota agensi penyelamat termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia.
Pihaknya juga sentiasa mengemas kini keadaan cuaca dengan Jabatan Meteorologi (MET Malaysia) setiap empat jam.
Selain itu kesiapsiagaan agensi penyelamat juga bagi memastikan kesemua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dapat menduduki peperiksaan tanpa sebarang masalah.
“Buat masa ini, tiada kawasan banjir yang kritikal. Kami hanya memantau kawasan Pekan Jerteh, di mana keadaan sungai masih tidak berbahaya kerana hujan hanya di kawasan pantai dan tidak berterusan.
“Pihak JKM telah bersedia dengan bekalan makanan dan khemah. Semalam, saya juga membuat lawatan ke SK Kuala Besut, dan situasi di situ dilaporkan dalam keadaan baik,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menyampaikan sijil penghargaan kepada pegawai kanan polis, pegawai rendah polis, pesara dan orang awam pada Perhimpunan Bulanan IPD Besut.
Pada majlis yang sama lapan pengamal media pelbagai agensi termasuk tiga wakil RTM Terengganu turut menerima sijil penghargaan.
Dalam perkembangan berkaitan, ACP Azamuddin menasihati penduduk yang tinggal di kawasan pesisir pantai agar tidak menghampiri dan melakukan sebarang aktiviti di air berikutan ombak yang sangat besar.
Pada masa sama mengelak daripada mengunjungi kawasan sungai, air terjun dan melakukan aktiviti mendaki.

