KRUBONG, 29 November -Banjir di daerah Melaka Tengah semakin pulih dan penduduk yang ditempatkan di dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah berkenaan mula pulang ke kediaman masing-masing.
Bagaimanapun menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Krubong, Zamri Mat Sit, langkah berjaga-jaga masih dilaksana terutama bagi penduduk yang tinggal di kawasan berhampiran Sungai Krubong.
“Semua itu kita dah aturkan daripada bahagian penguatkuasa, jawatankuasa pembangunan dan keselamatan kampung (JPPK) dan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) pun. Dan saya percaya, pada masa akan datang tidak akan berlaku banjir lagi Insya- Allah, sebab projek tebatan banjir yang berjutaan ringgit telah dibina di sebelah empang, jadi kita harap perkara ini akan selesai secepat mungkin,” katanya kepada pemberita, di sini.
PPS SK Krubong dibuka kira-kira pukul 6.00 petang semalam menempatkan lebih 100 penduduk terjejas banjir daripada 27 keluarga.
Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JPBN) Melaka memaklumkan banjir di daerah Alor Gajah juga semakin pulih terutama di kawasan pekan masjid tanah.
Namun, pemantauan terus dilakukan di kawasan berisiko banjir khususnya jika berlaku hujan lebat.
Secara keseluruhan sebanyak lapan PPS di buka di Melaka susulan hujan lebat pada Khamis akibat Ribut Tropikal Senyar yang menjejaskan 27 kawasan sekitar Alor Gajah dan Melaka Tengah.