KANGAR, 30 November – Jumlah penduduk terjejas banjir di Perlis menurun sebanyak 568 orang, dengan 3,009 penduduk daripada 915 keluarga masih berlindung di 12 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat 9 malam tadi.
Angka itu berkurangan berbanding 3,577 mangsa yang direkodkan setakat 5 petang sebelumnya.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis, Mejar (PA) Mohd Izaimi Md Daud, berkata enam PPS di Padang Besar telah ditutup.
Antaranya Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Tinggi, Dewan Semai Bakti Felda Mata Ayer, SK Felda Mata Ayer, SK Batu Bertangkup, SK Beseri dan SK Bukit Keteri.
Beliau berkata tiga PPS di Arau turut ditutup iaitu Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis, SK Guar Nangka dan UniMAP Kubang Gajah.
Sementara itu, tiga PPS di Kangar turut ditutup melibatkan SK Behor Empiang, IKBN Kuala Perlis dan SK Sena, menjadikan keseluruhan 12 PPS yang tidak lagi beroperasi.
Mohd Izaimi berkata pemantauan paras air dan operasi berkaitan banjir masih diteruskan dari semasa ke semasa.