PUTRAJAYA, 29 November – Kesemua 6,222 rakyat Malaysia yang terkandas ekoran banjir di Hat Yai dan kawasan sekitar berjaya diselamatkan.
Kementerian Luar menerusi satu kenyataan mengesahkan, proses pemindahan rakyat Malaysia telah berjaya disempurnakan.
Ia dilaksanakan melalui usaha bersepadu melibatkan Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok dan Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, serta lebih daripada 15 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), termasuk kumpulan sukarelawan Malaysia.
Menurut Wisma Putra, operasi pemindahan yang bermula pada 22 November lalu dilaksanakan dalam keadaan amat mencabar.
“Ini termasuk cabaran arus deras yang membahayakan, paras air yang tinggi, serta gangguan komunikasi dari semasa ke semasa.
“Walaupun berdepan pelbagai halangan, semua rakyat Malaysia yang terkandas, termasuk mereka yang terperangkap di lebih 150 hotel dan penginapan kecil berjaya dijejaki dan dibawa ke tempat selamat,” menurut kenyataan itu.
Kementerian turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Thailand atas bantuan, penyelarasan dan solidariti yang diberikan sepanjang operasi menyelamat serta kepada NGO dan pasukan sukarelawan yang terlibat.
Sementara itu, Wisma Putra menasihati rakyat Malaysia yang bercuti ke kawasan berisiko banjir bermusim supaya mendaftar keberadaan mereka dengan wakil diplomatik Malaysia terdekat.
Langkah itu bagi memastikan komunikasi dan bantuan dapat disalurkan dengan cepat sekiranya berlaku kecemasan, terutama dalam tempoh cuaca buruk di rantau ini.
“Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla akan terus memantau keadaan semasa dan memberikan bantuan kepada mana-mana rakyat Malaysia yang masih memerlukan sokongan,” menurut kenyataan itu lagi.