Banjir Perak: 306 calon SPM dipindahkan ke pusat peperiksaan baharu

IPOH, 1 Disember – Seramai 306 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari empat sekolah di Perak dipindahkan ke pusat peperiksaan baharu berikutan kejadian banjir melanda negeri itu, sejak Isnin lepas.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, kesemua pelajar calon SPM yang dipindahkan itu melibatkan daerah Teluk Intan, Bagan Datuk, dan Manjung.

Jelasnya, mereka terdiri daripada 275 calon sekolah dan 31 calon persendirian yang terpaksa dipindahkan kerana keadaan sekolah tidak selamat susulan musibah banjir.

“Keempat-empat pemindahan ini dilakukan kerana pusat peperiksaan berkenaan tidak selamat untuk digunakan. Selain itu, Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan Pangkor turut dipindahkan ke SMK Pangkor melibatkan seramai 20 calon berikutan keadaan bangunan yang berada di kawasan cerun kritikal dan tidak selamat.

“Kesemua 20 calon tersebut telah ditempatkan di Pusat Kokurikulum sebagai penginapan sementara dengan langkah keselamatan yang telah diambil,” katanya pada sesi pertanyaan lisan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.

Hey there! Ask me anything!