KUCHING, 23 November – Kerajaan Malaysia sedang mengambil tindakan segera bagi membantu sekumpulan pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) serta seorang pensyarah yang dilaporkan terkandas di Hatyai akibat banjir dan kekurangan bekalan makanan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata penyaluran bantuan kini sedang diselaras oleh Kementerian Luar Negeri (KLN).
“Kita ada pihak daripada Kementerian Luar Negeri yang sedang berusaha membantu. Sebenarnya rakyat Malaysia sangat beruntung kerana di mana sahaja mereka berada, kementerian yang berkaitan akan sentiasa tampil memberikan bantuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Penutup Program Kem Kasih Keluarga 2.0 sempena Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 2025 peringkat negeri di Santubong, Kuching.
Menurutnya, kementerian dimaklumkan terdapat sehingga 30 pelajar dan seorang pensyarah di Hatyai yang menghadapi kesukaran mendapatkan makanan berikutan banjir yang menjejaskan pergerakan keluar masuk di kawasan tersebut.
Datuk Seri Nancy turut memberi jaminan bahawa Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta agensi berkaitan berada dalam keadaan siap siaga sepanjang musim tengkujuh bagi memastikan keselamatan dan kebajikan mangsa banjir sentiasa menjadi keutamaan.

