Batu Pahat disyor jadi daerah berbudaya, langkah perkukuh seni tempatan

BATU PAHAT, 23 November -Usaha menjadikan Batu Pahat sebagai daerah berbudaya disifatkan sebagai langkah bernas yang berpotensi memperkukuhkan seni dan kebudayaan tempatan.

Idea tersebut sebelum ini telah diketengahkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Medan, Datuk Zulkurnain Kamisan yang menekankan kepentingan memartabatkan budaya dan warisan daerah itu.

Ketua Pengarah Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) Amran Haris berkata, pihaknya menyambut baik cadangan berkenaan dan melihat ia sebagai usaha positif bagi menggiatkan penglibatan masyarakat dalam aktiviti kesenian dan kebudayaan.

“Insya-Allah bawah JKKN, selagi mana kita termampu untuk membantu menjayakan pelbagai pengisian bagi memastikan matlamat tersebut tercapai, kita akan buat sebaik mungkin. Alhamdulillah, memang kita sangat-sangat mengalukan idea penubuhan daerah berbudaya untuk Batu Pahat,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Kampung Angkat Madani (KAM) di SK Seri Comel, Kampung Parit Abdul Rahman, di sini.

Menerusi program KAM, dua lokasi iaitu Kampung Parit Abdul Rahman dan Kampung Parit Mantan dipilih bagi melaksanakan kerja-kerja menaik taraf surau serta kemudahan komuniti.

Turut dilakukan, pemasangan 20 lampu solar berkuasa tinggi, pemberian alat muzik kompang dan jidur serta lain-lain bagi mengukuhkan aktiviti seni budaya setempat.

Pihaknya juga akan memperkasakan permainan kompang dengan menyediakan jurulatih profesional selama setahun, memandangkan ia sinonim dengan identiti Johor.

Hey there! Ask me anything!