WANG KELIAN, 7 Disember – Masyarakat dinasihat untuk sentiasa peka dengan maklumat terkini melalui hebahan rasmi agensi-agensi berkaitan, jika berlaku sesuatu bencana.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, (APM) Perlis, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Izaimi Md Daud dalam kenyataan berkata, orang ramai turut digalak menghubungi agensi berautoriti bagi mendapatkan pengesahan mengenai keraguan laporan atau hantaran di media sosial.
“Mengambil contoh Kampung Wang Kelian yang merupakan lokasi pertama di Perlis yang dilanda banjir pada 23 November lepas, sehingga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) diaktifkan iaitu di Masjid Nurul Husna.
“Pada hari sama turut berlaku kejadian runtuhan jalan yang mengakibatkan laluan antara Wang Kelian dan View Point terputus, sekali gus menjejaskan pergerakan penduduk serta pelancong,”katanya ketika menyembah maklum perkara itu kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, dalam pertemuan bersama penduduk setempat di Masjid Nurul Husna, di sini.
Pada pertemuan itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyempurnakan penyerahan sumbangan agihan zakat MAIPs berjumlah RM21,000 kepada 30 individu daripada golongan asnaf bagi kariah Wang Kelian serta RM6,600 untuk dapur cakna MAIPs bagi persediaan bencana.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan meninjau Masjid Al Mubarak Tasoh yang teruk dilanda banjir baru-baru ini serta beberapa rumah di sekitarnya.