Bengkel Pemurnian Modul PPITM, instrumen transformasi kehidupan pelajar

KANGAR, 5 Disember – Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin (FCoEE) menganjurkan Bengkel Pemurnian Modul Program Pemangkin Pembangunan Insan Terpilih Madani (PPITM) Siri Ke–2, dijayakan bersama Universiti Utara Malaysia (UUM) dan UiTM Cawangan Perlis.

Bengkel yang melibatkan lebih 30 profesional ini bertujuan menyempurnakan modul pembangunan insan bagi 104 pelajar asnaf terpilih seluruh Negeri Perlis, merangkumi aspek sahsiah, kepimpinan, ketahanan emosi, kecemerlangan akademik dan aspirasi masa depan.

Menurut Pengerusi FCoEE, Profesor Emeritus Datuk Dr Kamaruddin Hussin dalam kenyataan, modul PPITM yang dirangka ini bukan sekadar dokumen latihan, tetapi merupakan instrumen transformasi kehidupan pelajar.

Modul yang dibangunkan ini berpaksikan tiga fokus utama iaitu realiti hidup pelajar dengan memahami cabaran sebenar pelajar asnaf termasuk emosi, keluarga, akademik, persekitaran dan peluang hidup mereka.

Selain itu, menjadi pemangkin mobiliti sosial dimana tiada pelajar dari Perlis yang boleh dibiarkan tercicir daripada masa depan mereka hanya kerana kekangan hidup dan PPITM adalah landasan membina keyakinan, harapan dan hala tuju.

Manakala fokus ketiga ialah setiap modul perlu menghasilkan perubahan tingkah laku, pembentukan karakter dan peningkatan motivasi yang benar-benar boleh dikesan.

‘’Keberhasilan modul hanya dapat dicapai apabila ia disandarkan kepada analisis keperluan, tingkah laku pelajar, maklum balas guru serta rekod perubahan prestasi setiap pelajar dan keluarga asnaf terpilih”, katanya.

Beliau memaklumkannya pada perasmian Bengkel Pemurnian Modul Program Pemangkin Pembangunan Insan Terpilih Madani (PPITM) Siri Ke-2 di Kangar.

FCoEE bertekad untuk meneruskan komitmennya bagi memperkasa generasi MADANI PPITM dengan memastikan setiap modul yang ditambahbaik ini menyentuh jiwa pelajar, membina ketahanan diri dan membuka jalan ke arah masa depan yang lebih cerah.

Hey there! Ask me anything!