Buruh maut, motosikal dirempuh kereta

KEMAMAN, 7 Disember – Seorang buruh maut selepas motosikal ditunggangnya dipercayai dirempuh sebuah kereta ketika keluar dari simpang lampu isyarat di sini, petang tadi.

Kemalangan dipercayai berlaku kira-kira pukul 3.10 petang di kilometer 113, Jalan Kuala Terengganu – Kuantan dekat bandar Kerteh.
  
Dalam kejadian itu, mangsa Muhammad Tarmizi Muda, 36 tahun, disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di Klinik Kesihatan Kerteh.
 
Ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Demak dikatakan sedang dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Pengkalan Ranggon ke bandar Kerteh.
 
Ketika sedang membelok, sebuah kereta jenis Perodua Bezza dipandu seorang lelaki dari arah bandar Paka tidak sempat mengelak lalu merempuh motosikal ditunggang mangsa.
 
Akibat rempuhan itu mangsa tercampak beberapa meter ke atas jalan raya dan mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala sebelum dikejarkan ke klinik kesihatan.
 
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut.
 
Menurut Superintenden Mohd Razi, polis akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
 
Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat.

Hey there! Ask me anything!