KUALA LUMPUR, 5 Disember – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melancarkan data portal DOSM GEOHUB sebagai inisiatif strategik untuk memudahkan akses kepada maklumat geospatial yang digabungkan dengan statistik rasmi negara.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, platform itu dibangunkan selaras dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) untuk menjadikan Malaysia sebuah negara digital yang produktif dan berpusatkan rakyat, selain menggalakkan penggunaan maklumat geospatial secara meluas.
Menurutnya, pembangunan platform itu turut memenuhi saranan United Nations melalui Global Statistical Geospatial Framework (GSGF) bagi memastikan penyediaan maklumat yang tepat, menyeluruh dan mudah diakses.
“DOSM GEOHUB ini membolehkan orang ramai yang mungkin tidak mempunyai banyak masa untuk membaca atau meneliti jadual statistik terus ke DOSM GEOHUB untuk mendapatkan maklumat mengikut kawasan, membuat perbandingan berdasarkan tona warna serta atribut lain dalam peta geospatial kami,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Peluncuran DOSM GEOHUB yang berlangsung secara atas talian, pada Jumaat.
Tambah beliau, platform itu juga menawarkan pelbagai fungsi interaktif yang menyokong akses, penggunaan dan pemahaman statistik negara berasaskan geospatial.
Platform berkenaan turut membantu agensi kerajaan, penyelidik dan pembuat dasar dalam perancangan pembangunan bandar dan wilayah, penilaian impak sosial dan ekonomi, penyediaan intervensi setempat serta penyelarasan program bantuan dan kemudahan awam.
Antara maklumat yang dipaparkan merangkumi data populasi, jantina, kumpulan umur, ekonomi serta unjuran penduduk semasa di peringkat negara, negeri dan daerah.