KUALA LUMPUR, 30 November – Sebanyak 15 kawasan berisiko banjir di ibu negara kini dalam pemantauan rapi pelbagai agensi yang berisiko banjir kilat akibat Monsun Timur Laut.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, berkata langkah kesiapsiagaan dimaklumkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama agensi berkaitan susulan perubahan cuaca selepas ribut tropika minggu lalu.
Dalam tinjauan kerjanya hari ini, Dr Zaliha turut melawat lokasi tanah mendap di Jalan Masjid India.
Dr Zaliha berkata, beliau mahu DBKL bersama Kumpulan IKRAM Sdn Bhd yang dilantik sebagai pakar perunding menjalankan kajian geoteknikal bagi menilai struktur tanah sepanjang 300 meter laluan terjejas.
“Beberapa minggu lalu kita dikejutkan dengan kejadian tanah mendap dan mahu DBKL serta IKRAM ambil tindakan segera,” katanya.
Beliau juga meninjau tapak Bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) sebagai persediaan awal bagi penganjurannya tahun depan.
Menurut beliau, untuk tahun depan, sebanyak 39 lokasi bazar ditetapkan.
“Ia melibatkan 37 lokasi Bazar Ramadan dan dua lokasi Bazar Aidilfitri, dengan anggaran 3,500 petak niaga disediakan,” katanya.
Menurut Dr Zaliha, kerajaan sedang memperkemaskan pelaksanaan bazar berkenaan termasuk mengambil kira dapatan rumusan pasca pelaksanaan (post mortem) yang dibuat pada Jun lalu.