KUALA LUMPUR, 24 November – Isu agensi pengambilan pembantu rumah tidak berlesen serta perkembangan usaha kerajaan menoktahkan kemiskinan tegar, merupakan antara perkara yang akan dibincangkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
- Perbincangan Dewan Rakyat hari ini termasuk isu agensi pengambilan pembantu rumah tidak berlesen dan usaha menoktahkan kemiskinan tegar.
- Datuk Mohd Shahar mahu jumlah kes maid‑scammer, termasuk dalam talian, direkodkan dalam tempoh tiga tahun diketahui.
- Soalan mengenai langkah kementerian dan agensi penguatkuasaan untuk membanteras penipuan serta melindungi mangsa diajukan.
- Pertanyaan kepada Menteri Ekonomi mengenai kegagalan mencapai sasaran menoktahkan kemiskinan tegar dan halangan yang dihadapi.
- Isu lain termasuk data syarikat kurier, cadangan harga lantai penghantaran, dan mekanisme cukai baharu selepas pembatalan HVGT.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan jumlah kes melibatkan agensi pengambilan pembantu rumah tidak berlesen atau maid-scammer termasuk dalam talian yang direkodkan dalam tempoh tiga tahun, pada sesi soal jawab lisan.
Beliau juga ingin mengetahui langkah serta tindakan tegas yang dilaksanakan kementerian dan agensi penguatkuasaan bagi membanteras penipuan dan melindungi mangsa terlibat.
Pada sesi sama, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) mengajukan soalan kepada Menteri Ekonomi berhubung perkembangan usaha kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan tegar, yang dilihat masih belum mencapai sasaran serta halangan yang dihadapi.
Selain itu, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) bertanyakan Menteri Komunikasi mengenai data jumlah syarikat kurier dan pegangan pasaran, termasuk jenis syarikat antarabangsa atau tempatan.
Beliau juga ingin tahu sama ada kementerian akan menetapkan harga lantai untuk perkhidmatan penghantaran kurier, memandangkan Garis Panduan Harga Rujukan bagi Perkhidmatan Kurier yang diperkenalkan pada tahun 2022 hanyalah sekadar panduan harga dan bukan mandatori.
Turut tersenarai soalan Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) kepada Menteri Kewangan mengenai sama ada kerajaan bercadang memperkenal mekanisme baharu yang lebih menyeluruh, bagi memastikan cukai terhadap golongan kaya dan pemilik barangan mewah dapat dipungut secara berkesan selepas Cukai Barang Bernilai Tinggi (HVGT) dibatalkan.
Persidangan Dewan Rakyat kemudian diteruskan dengan menyambung semula perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat jawatankuasa, bagi beberapa kementerian.
Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen ke-15 Dewan Rakyat berlangsung selama 35 hari hingga 4 Dis ini.- BERNAMA

