Dewan Rakyat lulus dua RUU berkaitan pembangunan kemahiran

KUALA LUMPUR, 3 Disember – Dewan Rakyat hari ini meluluskan dua rang undang-undang (RUU) berkaitan pembangunan kemahiran negara, iaitu RUU Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (Pindaan) 2025 dan RUU Tabung Pembangunan Kemahiran (Pindaan) 2025.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata pindaan Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006 (Akta 652) bertujuan memberi insentif kepada pemberi latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berkualiti, sekali gus menjaga kebajikan pelajar.

Ketika membentangkan RUU itu bagi bacaan kali kedua, beliau berkata Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) maklum masih tiada mekanisme jelas dalam akta sedia ada bagi menggantung atau membatalkan pentauliahan pusat latihan yang gagal mengekalkan piawaian atau melanggar standard ditetapkan.

Sehubungan itu jelasnya, KESUMA berpandangan sudah tiba masa untuk memperkukuhkan lagi sistem kawal selia pada masa kini melalui pindaan yang dibawa.

“Kementerian ini berhasrat memperkenalkan sistem yang lebih dinamik dan berasaskan prestasi, iaitu pusat latihan yang menunjukkan kecemerlangan akan diberikan pengiktirafan sewajarnya. Manakala pusat yang lemah akan dibimbing dan dipantau secara berterusan bagi memastikan piawaian kualiti latihan dapat dikekalkan demi masa depan anak-anak kita,” katanya ketika menggulung perbahasan RUU berkenaan.

RUU itu juga bertujuan menambah baik tempoh pentauliahan penyedia latihan kemahiran daripada tiga tahun kepada enam tahun serta memperkenalkan tatacara penggantungan dan pembatalan yang lebih jelas, telus dan berakauntabiliti.

Ia juga bagi memperkemas pensijilan kemahiran di Malaysia dalam usaha membangunkan tenaga kerja mahir negara.

Sementara itu, RUU Tabung Pembangunan Kemahiran (Pindaan) 2025 bertujuan meminda Akta Tabung Pembangunan Kemahiran 2004 (Akta 640) bagi meluaskan skop pembiayaan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).

Antara teras utama pindaan adalah peluasan skop pinjaman latihan kemahiran dan bantuan kewangan kepada program latihan lain yang diiktiraf Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) serta pemantapan tadbir urus melalui proses kelulusan, pengurusan dan kawalan bantuan kewangan lebih telus.

Hey there! Ask me anything!