KUALA LUMPUR, 3 Disember – Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Antibuli 2025, satu inisiatif perundangan komprehensif untuk mendidik masyarakat dan mewujudkan persekitaran lebih selamat dalam sistem pendidikan nasional.
RUU tersebut antara lain memperkenalkan mekanisme khusus untuk menerima aduan, mencegah serta menguruskan insiden buli di institusi pendidikan dan institusi lain yang ditetapkan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, melalui RUU tersebut, sebuah Tribunal Antibuli akan ditubuhkan sebagai badan berbidang kuasa sivil bagi mendengar dan memutuskan aduan berkaitan kes buli, sekali gus menyediakan laluan penyelesaian yang lebih cepat, adil dan berstruktur.
Buat permulaan, pelaksanaan rang undang-undang itu akan terpakai kepada golongan berusia 18 tahun ke bawah.
“Saya berdiri di sini untuk memberikan komitmen bahawa, jika diizinkan Allah SWT, tahun depan kita akan menilai keberkesanan RUU ini bagi kumpulan bawah 18 tahun. Pada 2026, kita juga akan mengkaji kemungkinan peluasan pelaksanaannya kepada mereka yang berusia 18 tahun ke atas,” katanya ketika menggulung perbahasan.
Datuk Seri Azalina juga memberitahu, menerusi RUU itu, tribunal boleh mengeluarkan perintah terhadap responden, atau bagi responden kanak-kanak, ibu, bapa atau penjaga, untuk membayar pampasan atau ganti rugi sehingga RM250,000 bagi sebarang kerugian atau kerosakan yang dialami mangsa akibat buli.
Beliau menjelaskan, pendekatan ini bersifat pencegahan kerana tanggungjawab terhadap tingkah laku anak-anak tidak boleh diletakkan sepenuhnya kepada pihak sekolah atau guru.
Selain itu, RUU berkenaan juga membolehkan tribunal mengarahkan ibu bapa atau penjaga hadir bersama responden kanak-kanak ke sesi kaunseling atau program sokongan keibubapaan yang disediakan oleh agensi kerajaan, sekali gus memperkukuh pendekatan pencegahan.
Terdahulu, ketika membentangkan RUU itu bagi bacaan kali kedua, Datuk Seri Azalina mendedahkan statistik Sistem Sahsiah Diri Murid Kementerian Pendidikan menunjukkan sejak 2019, purata lebih 14,000 kes buli dilaporkan setiap tahun di sekolah rendah dan menengah.
Manakala Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022 oleh Kementerian Kesihatan menunjukkan 8.6 peratus pelajar berumur 13 hingga 17 tahun pernah menjadi mangsa buli, dengan risiko tiga kali ganda mengalami kemurungan atau kecenderungan mencederakan diri.
Data Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula merekodkan 160 kes buli, termasuk buli fizikal dan buli secara dalam talian, dengan 78 peratus mangsa terdiri daripada kanak-kanak berumur 6 hingga 17 tahun antara Ogos hingga Oktober tahun ini.