
PUTRAJAYA, 3 Disember – Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) meluluskan pelaksanaan Pukat Tunda Musim Tengkujuh (PTMT) Khas 2025 bermula 1 Disember 2025 hingga 28 Februari 2026 dengan kawal selia ketat bagi melindungi kepentingan sosioekonomi nelayan serta memastikan kelestarian sumber perikanan negara.
Menurut DOF, sebanyak 223 kelulusan telah diberikan melibatkan Terengganu (152), Kelantan (41), Pahang (29) dan Johor Timur (1). Semua kelulusan tertakluk kepada syarat ketat termasuk penggunaan vesel tradisi bawah 15 GRT yang dikendalikan pemilik sendiri, pemasangan peralatan keselamatan, penggunaan mata pukat melebihi 38 mm serta kewajiban memasang Turtle Excluder Device (TED).
Ketua Pengarah Perikanan, Dato’ Adnan Hussain, dalam satu kenyataan menegaskan bahawa PTMT Khas bukan “lesen bebas” untuk vesel Zon A, sebaliknya mekanisme terurus yang dipantau rapi oleh jabatan.
“Sebaik sahaja syarat dilanggar, kelulusan akan dibatalkan serta-merta,” katanya.
DOF turut mewajibkan semua vesel membawa surat kelulusan sepanjang tempoh operasi, manakala permohonan lanjutan selepas 28 Februari 2026 tidak akan dipertimbangkan.
Pemeriksaan berkala akan dijalankan di laut dan darat bagi memastikan pematuhan.
Di bawah Akta Perikanan 1985 (Seksyen 8(b)), mana-mana pengusaha yang melanggar syarat boleh dikenakan denda sehingga RM20,000, hukuman penjara atau kedua-duanya sekali.