CYBERJAYA, 4 Disember – Malaysia melakar pencapaian di peringkat antarabangsa apabila Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA), Dr. Muralitharan Paramasua, dilantik sebagai Pengerusi Global Harmonization Working Party (GHWP) bagi penggal 2026–2028.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pelantikan itu diputuskan pada Mesyuarat Tahunan GHWP ke-29 di Bangkok selepas menerima sokongan kukuh daripada negara anggota dan organisasi antarabangsa.
GHWP merupakan badan antarabangsa merangkumi 38 negara yang menyelaras dan menyeragamkan regulasi peranti perubatan global.
Malaysia melalui MDA telah menjadi ahli aktif sejak 1996 dan pelantikan ini dilihat sebagai pengiktirafan terhadap kepakaran negara dalam bidang regulatori.
Pelantikan Dr. Muralitharan dilihat sebagai pengiktirafan ke atas kepakaran negara dalam dasar, teknikal dan pembangunan regulasi peranti perubatan, disokong pengalaman luas beliau dalam platform antarabangsa seperti GHWP, ASEAN, Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) dan IMDRF.
KKM memaklumkan bahawa kepimpinan baharu GHWP akan memberi tumpuan kepada empat keutamaan, memperkukuh tadbir urus melalui penubuhan pejabat serantau, mempertingkat latihan dan pembinaan kapasiti, meluaskan keanggotaan serta memacu usaha harmonisasi teknikal melibatkan klasifikasi produk, piawaian dan sistem pematuhan.
Pelantikan ini dijangka mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju rantau dalam peraturan peranti perubatan, meningkatkan akses pasaran global untuk industri tempatan serta memperkasa kerjasama teknologi dan keyakinan pelabur.
KKM menyifatkan perkembangan ini sebagai pencapaian bersejarah yang akan membantu memperkukuh sistem pengawalseliaan negara supaya lebih selari dengan amalan global dan memberi manfaat kepada sektor kesihatan Malaysia.