Dua kanak-kanak perempuan dilaporkan hilang di Kampung Pasir Pandak

KUCHING, 6 Disember – Dua kanak-kanak perempuan berusia masing-masing lima tahun dilaporkan hilang di Kampung Pasir Pandak, Kuching sejak pagi tadi.

Menurut kenyataan media Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), siasatan awal mendapati mangsa kali terakhir dilihat pada pukul 9 pagi ketika bermain bersama sepupu di rumah nenek mereka, kira-kira 50 meter dari rumah mangsa.

Namun pada pukul 11 pagi, bapa salah seorang mangsa menyedari kedua-duanya tidak berada di kawasan mereka bermain.

“Penduduk kampung bersama keluarga kemudian melancarkan pencarian awal di sekitar kawasan kampung, namun gagal menemui sebarang petunjuk,” menurut kenyataan tersebut.

Pada pukul 6 petang, satu laporan polis dibuat selepas usaha pencarian tidak membuahkan hasil.

Humaira Qalesya dilaporkan berbaju hitam belang putih, berseluar jeans biru dan berselipar hijau, manakala Nur Ashafieya Aisyah berbaju putih dan berselipar ungu.

Setakat ini, operasi pencarian masih giat dijalankan dengan kekuatan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya.

Terdahulu, JBPM menerima panggilan daripada Balai Polis Santubong pada pukul 8 malam mengenai kehilangan mangsa.

Hey there! Ask me anything!