IPOH, Disember – Polis mengesahkan menerima laporan serangan haiwan liar dipercayai harimau yang mengakibatkan dua lembu ternakan mati dan lima lagi hilang di Bukit Bangkong, Tanah Hitam, Chemor, pada Jumaat.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin menerusi satu kenyataan memaklumkan, insiden itu dimaklumkan sekitar pukul 6.30 petang oleh seorang lelaki yang menemui dua lembunya mati dengan kesan gigitan, manakala beberapa ternakan lain tidak dapat dikesan.
“Susulan laporan tersebut, anggota Balai Polis Tanah Hitam bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan pemantauan serta penilaian awal. Perhilitan turut memasang kamera perangkap bagi mengesan dan mengesahkan kehadiran harimau di kawasan berkenaan,” katanya.
Datuk Noor Hisam memaklumkan, pemantauan akan diteruskan dan maklumat disalurkan kepada agensi berkaitan bagi memastikan kawalan risiko, keselamatan penduduk serta usaha pemuliharaan hidupan liar dapat dilaksanakan secara berkesan.
Beliau menasihatkan orang awam yang mempunyai maklumat supaya segera menghubungi Balai Polis Tanah Hitam atau Perhilitan serta mengingatkan penduduk supaya berwaspada, tidak menghampiri kawasan hutan dan mengelakkan sebarang provokasi terhadap haiwan liar demi keselamatan komuniti.