AYER KEROH, 8 Disember – Enam projek baharu melibatkan fasiliti kesihatan akan dilaksanakan di Melaka dalam usaha menambah baik perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.
Exco Kesihatan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata peruntukan bagi kesemua projek itu telah diluluskan di bawah Rolling Plan 1 Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Antara projek utama ialah pembinaan Klinik Kesihatan Jenis 3 Cheng dengan kos sebanyak RM43.6 juta.
“Klinik kesihatan ini akan dibina sebagai penggantian kepada klinik sedia ada yang tidak lagi mampu menampung jumlah kedatangan pesakit harian yang telah mencecah 1,016 orang. Justeru, projek ini melibatkan perobohan kuarters lama serta pembinaan fasiliti baharu yang lebih lengkap bagi keselesaan pesakit,” katanya.
Klinik kesihatan itu turut menyediakan perkhidmatan tambahan dengan kepakaran Perubatan Keluarga termasuk Perkhidmatan Pesakit Luar, Kecemasan 24 jam dan perkhidmatan lain.
Antara projek lain yang turut diluluskan di bawah RMK13 ialah pembinaan Blok Tambahan Hospital Jasin, pembinaan Kompleks Kesihatan Bersepadu Daerah Melaka Tengah serta naik taraf kemudahan hemodialisis di Hospital Melaka.