KUALA LUMPUR, 4 Disember – Had pendapatan tahunan RM50,000 kekal digunakan sebagai ujian kemampuan (means test) untuk menerima perkhidmatan bawah Akta Bantuan Guaman dan Pembelaan Awam 2025.
Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran, Kerajaan MADANI prihatin terhadap hak akses kepada keadilan telah membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Bantuan Guaman dan Pembelaan Awam 2025 untuk memastikan perkhidmatan bantuan guaman disampaikan dengan efisien.
Akta baharu itu memperluas fungsi Jabatan Bantuan Guaman (JBG) dengan memasukkan pembelaan awam sebagai perkhidmatan tambahan bagi memastikan akses kepada keadilan lebih menyeluruh.
“Berkenaan dengan kadar had pendapatan yang akan digunakan sebagai ujian kemampuan (means test) bagi permohonan perkhidmatan di bawah RUU Bantuan Guaman dan Pembelaan Awam 2025, ia akan dibuat melalui peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh Menteri.
“Dalam hal ini, dasar sedia ada masih dikekalkan ialah bantuan guaman percuma akan diberikan kepada orang yang dibantu dengan sumber kewangan tahunan berjumlah RM50,000.00 dan ke bawah selepas ditolak tanggungan tertentu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Besut Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh berkenaan kadar had pendapatan yang akan digunakan sebagai ujian kemampuan (means test) bagi permohonan perkhidmatan bawah Akta Bantuan Guaman dan Pembelaan Awam 2025 dan sama ada kriteria lain seperti pendapatan boleh guna akan dipertimbangkan apabila akta tersebut dikuatkuasakan kelak.
M Kulasegaran turut memaklumkan bahawa pemohon dengan pendapatan melebihi RM50,000 masih boleh dibantu untuk kes sivil, syariah, nasihat guaman dan pendamping guaman, namun mereka perlu membuat bayaran sumbangan tertentu bagi menampung kos guaman yang ditanggung kerajaan.