Haji 2026: Hanya 18% tangguh tawaran, bukti strategi pengurusan berkesan

KUALA LUMPUR, 4 Disember – Hanya 18 peratus bakal jemaah haji menangguhkan tawaran bagi musim Haji 2026, satu penurunan ketara yang mencerminkan keberkesanan langkah proaktif Tabung Haji (TH) dalam memastikan setiap kuota haji dipenuhi 100 peratus setiap tahun.

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan setiap kekosongan akibat penangguhan penerimaan tawaran akan diganti serta-merta melalui senarai permohonan rayuan untuk menunaikan ibadah itu.

Malah, bagi mengurangkan risiko pembatalan saat akhir, TH mengeluarkan peringatan awal kepada bakal jemaah melalui SMS, e-mel, hebahan media dan aplikasi THiJARI supaya persediaan kesihatan dilakukan lebih awal, supaya hanya jemaah yang benar-benar bersedia ditawarkan.

Sekali gus membantu TH untuk memastikan kuota haji rasmi pada setiap tahun dimanfaatkan sepenuhnya.

“Sehingga 3 Disember 2025, hanya 18% bakal jemaah haji yang menangguh atau menunda pemergian mereka ke tanah suci, sekali gus membuktikan keberkesanan strategi proaktif Lembaga Tabung Haji. Kesimpulannya, Tabung Haji sentiasa memastikan kuota yang diberikan dipenuhi 100% setiap tahun serta terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada Duyufurrahman negara,” katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman dalam sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Dr Zulkifli menyarankan bakal jemaah agar menabung secara konsisten dan membuat persediaan awal dari aspek kesihatan, kewangan serta ilmu ibadat agar lebih bersedia apabila tibanya giliran mereka.

Komitmen kerajaan untuk terus memperkukuh perkhidmatan Tabung Haji demi memastikan pengurusan haji rakyat Malaysia kekal antara terbaik di dunia, menyaksikan Tabung Haji diiktiraf sebagai institusi pengurusan haji terbaik dunia, menerima Labaytum Diamond Award oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi pada Jun 2025.

Hey there! Ask me anything!