KUALA LUMPUR, 4 Disember – Program rehabilitasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) terus menunjukkan impak positif apabila hampir 25,000 pesakit telah menerima rawatan sejak 2014, dengan majoritinya pulih sehingga mampu kembali bekerja.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, keberkesanan rawatan bukan sahaja dibuktikan melalui angka, malah turut disokong pengalaman pesakit dan pandangan pemimpin tempatan yang pernah melawat pusat rehabilitasi tersebut.
“Dari tahun 2014 hingga sekarang, hampir 25,000 pesakit telah kita rawat. Keberkesanan program kita mencecah 70 peratus, iaitu pesakit yang datang ke pusat rehabilitasi ini berjaya kembali ke alam pekerjaan. Maksudnya, mereka dapat dipulihkan sehingga mampu bekerja dan meneruskan kehidupan seharian.
“Bagi 30 peratus lagi, ramai yang bertanya tentang status mereka. Sebenarnya, sebahagian daripada mereka juga mampu melakukan tugas seperti biasa, tetapi mereka memilih untuk tidak kembali bekerja atas alasan-alasan peribadi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lee Chuan How dalam Dewan Rakyat hari ini.
Jelasnya lagi, bagi pesakit serius, PERKESO menyediakan rawatan susulan di rumah (rehab at home) bagi memastikan penjagaan berterusan dapat diberikan sehingga kualiti hidup mereka bertambah baik.
Peluasan skim LINDUNG 24 jam penting kerana insiden tidak diingini boleh berlaku pada bila-bila masa, dan manfaat rehabilitasi PERKESO akan menjadi penyelamat kepada pekerja serta keluarga mereka.